MCA tetap bertegas tidak sokong RUU 355

Ashwad Ismail
Disember 1, 2016 15:23 MYT
LIOW: "Sebarang usul persendirian yang bakal dikemukakan di masa hadapan perlu dibuat berpandukan kerangka Perlembagaan Persekutuan." - Gambar fail
MCA tetap bertegas dengan pendirian tidak akan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian bagi memperkasa Mahkamah Syariah yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada sidang Dewan Rakyat yang lalu.
Presidennya Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai berkata, beliau telah menerangkan pendirian parti pimpinannya berhubung RUU tersebut kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional dan semua parti komponen.
“Sebarang usul persendirian yang bakal dikemukakan di masa hadapan perlu dibuat berpandukan kerangka Perlembagaan Persekutuan,” kata Liow selepas menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Reaksi beliau itu sebagai mengulas kenyataan Najib yang antara lain menyeru rakyat, khususnya yang bukan beragama Islam, agar tidak bimbang dengan RUU 355 itu kerana mereka tidak akan tertakluk di bawahnya.
Najib, yang juga Presiden UMNO, semasa menyampaikan ucapan dasarnya pada perhimpunan hari ini menggariskan rasional serta keperluan mengkaji RUU 355.
"Kerajaan sedang mengkaji dengan halus agar tidak berlakunya unsur penghukuman dualisme," katanya.
Tambah Najib, kerajaan indukan UMNO telah membuat ketetapan bersejarah, dengan memberi laluan kepada RUU Persendirian yang dibawa oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dibacakan di Dewan Rakyat pada 24 November lalu.
RUU itu bermatlamat membuka ruang membolehkan pindaan dibuat ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
Menurut Najib, usul persendirian itu nanti akan diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan.
Abdul Hadi di Dewan Rakyat memaklumkan bahawa versi terbaharu RUU Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 melibatkan peningkatan tempoh penjara tidak melebihi 30 tahun, denda tidak melebihi RM100 ribu, dan sebat tidak melebihi 100 kali sebagaimana ditadbir mengikut tatacara jenayah Syariah.
#Abdul Hadi Awang #Akta Mahkamah Syariah #Liow Tiong Lai #MCA #Najib Razak #pau2016 #RUU 355
;