MCA serah kepada BN tentukan nasib Ong Tee Keat
Astro Awani
Februari 28, 2013 13:25 MYT
Februari 28, 2013 13:25 MYT
MCA menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) untuk membuat keputusan mengenai pencalonan terus bekas Presiden parti itu, Datuk Seri Ong Tee Keat bertanding di Parlimen Pandan dalam pilihan raya umum nanti.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, lazimnya parti komponen yang mengemukakan cadangan berdasarkan kemampuan seseorang calon itu untuk memastikan kemenangan BN.
"Parti selalunya akan letak calon yang akan menang besar tetapi terpulang kepada pucuk kepimpinan BN untuk buat keputusan," katanya.
Jelasnya lagi pendekatan itu diambil bukan sahaja untuk kerusi Pandan tetapi mana-mana sahaja kerusi yang bakal ditandingi MCA.
Tiong Lai berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan sebuah portal berita tempatan baru-baru ini bahawa BN akan meletakkan Tee Keat sebagai calon secara langsung.