MCA selar tindakan Teresa Kok, NGO Islam
Astro Awani
Februari 8, 2014 11:38 MYT
Februari 8, 2014 11:38 MYT
Parti MCA menyelar segelintir badan bukan kerajaan Islam (NGO) yang bertindak menggantungkan sepanduk dan ‘banner’ yang berbaur perkauman dan penghinaan sebagai protes mereka kepada pembikinan video klip ‘Onederful Malaysia’ yang dihasilkan oleh Naib Pengerusi Kebangsaan Parti DAP, Teresa Kok.
Setiausaha Agung Pemuda MCA, Leong Kim Soon berkata, perkataan-perkataan seperti ‘Bangsa Cina Chauvanis’ dan ‘Keturunan Kangkung’ yang tertera pada sepanduk berkenaan amatlah tidak bertamadun, tidak bertanggungjawab dan tidak matang terutamanya kepada bangsa Cina di Malaysia.
“Bagi kami, tidak perlu juga bagi mereka (NGO Islam) ini untuk menyembelih ayam dan melumurkan darahnya itu ke gambar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Adun Machang Bubuk, Lee Khai Loon disebabkan pemimpin Pakatan Rakyat ini telah dikatakan menghina kesucian Islam dan juga kepimpinan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan medianya kepada Astro Awani.
Beliau juga menjelaskan bahawa tidak perlu juga adanya ganjaran sebanyak RM1,200 yang akan diberikan kepada sesiapa yang berjaya menampar Teresa Kok sambil memberikan bukti terhadap perbuatan itu.
“Walau bagaimana pun, kami tetap merasakan bahawa penghasilan video klip ‘Onederful Malaysia’ itu tetap merupakan sesuatu yang tidak sensitif dan tidak seharusnya berlaku dari seorang pemimpin Pakatan Rakyat yang berpengalaman terutama ketika kita semua berada dalam keadaan ceria dan gembira ketika menyambutan Tahun Baru Cina,”.
Tambahnya lagi, penyalahgunaan media sosial yang dilakukan oleh Teresa Kok itu hanya akan membangkitkan kemarahan, kebencian dan menimbulkan ketakutan di kalangan masyarakat.
“Ianya hanya akan menambahkan lagi dalam perpaduan masyarakat di negara ini,” katanya.
Oleh hal demikian, MCA meyelar kedua-dua perbuatan ini kerana ianya tidak akan menyelesaikan masalah yang ada dan masyarakat digesa untuk bertenang dan tidak luar batasan undang-undang negara.
“Kami menggesa pemimpin Pakatan Rakyat supaya lebih berhemah tinggi dan bertamadun dalam mempersembahkan gagasan pemikiran di masa hadapan kerana kita tidak mahu kesepakatan kaum yang dicapai dalam suasana harmoni ini tergugat oleh insiden-insiden yang sepatutnya seperti ini,”.