MCA mahu lancar kempen tandatangan isu VEP ke Singapura

Astro Awani
Julai 3, 2014 17:23 MYT
MCA mahu lancar kempen tandatangan isu VEP ke Singapura - Gambar fail
MCA tidak menolak kemungkinan untuk melancarkan kempen tandatangan berhubung isu peningkatan bayaran Permit Masuk Kenderaan (VEP) ke Singapura yang berkuatkuasa 1 Ogos depan.
Pengerusi Biro Aduannya, Jason Teoh berkata, langkah terkini Singapura itu disifatkan tidak memikirkan kepentingan dua hala sekali gus tamparan hebat kepada pembangunan ekonomi negara.
Kerajaan Singapura akan menaikkkan bayaran Permit Kenderaan Barangan (GVP) daripada S$10 (RM25.72) kepada S$40 (RM102.88) sebulan berkuat kuasa, mulai 1 Ogos depan.
Begitu juga kadar bayaran VEP bagi kenderaan berdaftar di luar negara yang mahu memasuki Singpura akan dinaikkan daripada S$20 (RM51.44) kepada S$35 (RM90) sehari berkuat kuasa mulai tarikh sama.
Ujarnya, hubungan Malaysia dan Singapura yang terjalin sekian lama harus diteruskan secara harmoni dan penuh semangat persahabatan.
"Bagaimanapun, pengumuman Singapura ini menidakkan semangat setiakawan antara dua negara yang terjalin selama ini.
"Oleh itu, saya tidak menolak tindakan Kerajaan Johor untuk mengambil langkah sama dapat direalisasikan kelak," ujarnya.
Jelas Jason, hasil dua hala kedua-dua negara akan meningkat sekali gus menambah beban majoriti rakyat kedua-dua negara.
Sementara itu, tinjauan mendapati, kadar baru VEP itu disifatkan membebankan rakyat negara ini yang bekerja di Singapura.
Penduduk Johor yang bekerja di Singapura, Raihan Mohd. Yusof berkata, kadar itu dilihat tidak adil kerana perbezaan nilai mata wang kedua-dua negara.
"Bagi saya satu bebanan juga kerana tiada caj bagi kenderaan mereka yang masuk ke sini namun keadaan berbeza bagi kenderaan kita yang hendak ke sana.
"Tidak kira naik motosikal atau kereta, kita terbeban dengan caj ini dan akan menjadi lebih berat selepas caj baru dikenakan Ogos depan," katanya.
Bagi penduduk Johor yang bekerja di Singapura, Wan Yusnita Wan Yusof, kenaikan itu dirasakan tidak logik lebih-lebih lagi kesesakan sama dihadapi sejak sekian lama.
"Tidak patut hendak naik caj lagi, kesesakan sama juga. Lainlah jika naik caj dan kita dapat masuk dengan cepat," ujarnya.
Dalam pada itu, bagi penduduk Johor yang sudah 14 tahun bekerja di Singapura, Wong Siew Mun, apa juga kenaikan caj dilihat hak Kerajaan Singapura sendiri.
Siew Mun turut menasihatkan pekerja sama sepertinya untuk menggunakan kenderaan awam yang disifatkan lebih memudahkan.
"Kenapa kita hendak marah terhadap keputusan itu? Ia merupakan hak mereka.
``Saya cadangkan pekerja berkenaan menggunakan kenderaan awam. Selain tidak menghadapi kesesakan ketika memandu, ia juga mengelakkan rasa penat kerana anda boleh tidur di dalam bas," jelasnya.
Pada Rabu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kerajaan sedang mengkaji cadangan mengenakan caj tertentu bagi kenderaan di sempadan Thailand, Brunei dan Kalimantan untuk masuk ke negara ini.
Jelasnya, ia termasuk melihat serta menimbang beberapa prosedur dan proses sebelum sebarang sebarang tindakan dapat dilaksanakan.
#Johor #Kementerian Pengangkutan #Liow Tiong Lai #MCA #Singapura #VEP
;