MCA gerakkan jentera raih semula sokongan kaum Cina

Bernama
September 28, 2014 08:59 MYT
LIOW: MCA gerakkan jentera raih semula sokongan orang Cina - Gambar fail
MCA akan menggerakkan seluruh jentera untuk turun padang mendekati komuniti Cina sebagai usaha mendapatkan semula sokongan kaum itu terhadap parti berkenaan.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata MCA bertekad untuk merebut kembali mana-mana kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tewas kepada pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang lalu.
Katanya walaupun PRU ke-14 masih jauh, namun gerak kerja ke arah merampas kembali kerusi MCA yang tewas itu perlu dilakukan mulai sekarang.
"Kita tidak boleh lagi menoleh ke belakang sebaliknya perlu berusaha untuk menebus semula kekalahan PRU lepas dan meningkatkan sokongan komuniti Cina terhadap MCA.
"Jentera dan anggota parti perlu segera turun padang menemui akar umbi dan menyelesaikan pelbagai masalah yang mereka hadapi sekali gus mendapatkan sokongan berterusan daripada mereka," katanya pada majlis perasmian persidangan perwakilan MCA Pahang di Mentakab, dekat sini pada Sabtu.
Liow berkata setiap anggota parti perlu mengetepikan perkara remeh yang boleh menggugat parti, sebaliknya menumpukan usaha bagi membina dan mengukuhkan parti seperti masa lalu.
"Kekuatan dan kejayaan sesebuah pertubuhan atau parti politik adalah kerana kesatuan dan kesepakatan yang erat yang tidak boleh digugat mana mana pihak," katanya.
#Cina #DUN #jentera #komuniti #MCA #Pahang #politik #PRU #tiong
;