MCA bodoh, biadap dan tersasar - Bekas Pemuda UMNO
Wan Syamsul Amly
Februari 3, 2015 17:39 MYT
Februari 3, 2015 17:39 MYT
Himpunan bekas Pemuda UMNO menyifatkan kenyataan kecaman singkir jawatan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri terhadap kenyatannya mengenai isu peniaga Cina adalah bodoh, biadap dan tersasar.
Jurucakap mereka, Datuk Zulkifli Alwi berkata, MCA juga sengaja menimbulkan kenyataan berbaur kecaman sekali gus tanda jasa UMNO kepada parti orang Cina itu dilupakan sama sekali.
"Kenyataan itu bodoh kerana kenyataan itu bertujuan membela nasib rakyat terbanyak dalam soal harga barangan yang seharusnya diturunkan sejajar dengan pengurangan harga minyak.
"Apatah lagi parti MCA yang 'survival' politik kepimpinannya hari ini terlampau banyak bergantung kepada ehsan penyokong dan pemimpin UMNO serta orang-orang Melayu," katanya semasa sidang media khas solidariti Ismail Sabri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Ismail turut hadir pada sidang media itu namun enggan memberi apa-apa kenyataan berhubung isu berkenaan.
Pada Isnin, Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon secara terang menyatakan mahu berganding dengan DAP menyerang Ismail.
Dalam kenyataannya, Sin Woon dilaporkan membidas Ismail dengan berkata: 'untuk memboikot perniagaan Cina adalah kenyataan kurang bijak dan menegaskan bahawa Ismail hanya membuat kenyataan peribadi, bukan pendirian Kabinet mahupun BN.'
Dalam pada itu kata Zulkifli, mereka tidak menyangka kenyataan itu keluar daripada Sin Woon sekali gus membuktikan MCA senada dan seirama dengan parti pembangkang.
"Mereka jelas dan nyata kini menjadi seteru politik kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Pada hemat kami, sudah terang lagikan bersuluh, wajah sebenar MCA dan pemimpinnya dalam konteks hubungan sesama parti komponen BN kini amat terserlah," jelasnya.
Zulkifli turut menyatakan, pada masa kini, ramai ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi yang merasa sangat terguris dengan tindak tanduk MCA.
"Mereka dilihat kadang kala lebih 'chauvinis' daripada parti pembangkang," katanya.
Tegasnya lagi, kedudukan MCA sebagai parti komponen juga harus dikaji semula kerana dilihat tidak banyak menyumbang kepada kekuatan BN.
"Pucuk pimpinan BN boleh beri lebih keutamaan di dalam pengagihan kerusi di dalam Jemaah Menteri kepada parti komponen yang terbukti setia dan menyumbang kepada kemenangan BN di dalam pilihan raya umum yang lalu," ujarnya.