MCA: BN perlu adil dan tidak dilihat sebagai 'menghukum Cina'

Teoh El Sen
Disember 21, 2013 10:59 MYT
Kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu menyediakan polisi yang inklusif dan tidak akan ditafsirkan sebagai menghukum masyarakat Cina.
Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata demikian semasa ucapan dasar Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-60 hari ini.
“Barisan Nasional bukan sekadar harus kelihatan adil tetapi pada masa yang sama perlu bekerja dan menyediakan polisi yang inklusif dan tidak akan ditafsirkan sebagai menghukum masyarakat Cina,” katanya.
Katanya, disebabkan keputusan MCA sebelum ini dan penolakan pengundi Cina, masyarakat Cina kini hanya mempunyai wakil yang sangat minimum di dalam kerajaan.
“Walaupun EGM MCA telah memutuskan untuk menerima kembali kedudukan jawatan dalam kerajaan di peringkat negeri, ia masih tidak mencerminkan komposisi kaum masyarakat kita secara keseluruhannya. Ini adalah kerana penolakan para pengundi Cina,” katanya.
Beliau berkata ini merupakan satu cabaran yang sangat besar kepada kepimpinan baru MCA serta BN juga.
“Ini sebenarnya juga satu cabaran yang sangat besar kepada Najib, selaku pengerusi BN dan juga presiden Umno iaitu berhadapan dengan tekanan yang amat berat agar terus memberikan ganjaran (reward) kepada para pengundi yang telah mengundi dan menyokong Barisan Nasional,” katanya.
Chua juga berkata keputusan PRU yang lepas telah menyaksikan bagaimana telah terbentuknya lahirnya “dua sistem politik perkauman di negara ini”
“... iaitu orang Melayu dan Bumiputera berkuasa di kedua-dua peringkat persekutuan dan juga negeri sementara kuasa politik kaum Cina secara puratanya diwakili oleh pihak pembangkang.”
Sementara itu, Chua berkata formula langkah-langkah tindakan afirmatif perlu dikaji semula.
"Di manakah ia telah mencapai keberhasilan dan di manakah ia telah gagal dan mengapakah ia masih gagal meningkatkan status sosial ekonomi masyarakat Bumiputra...Persoalannya – apakah DEB itu sendiri harus menjadi polisi yang berasaskan keperluan tanpa mengambilkira soal etnik."
“Seandainya langkah-langkah afirmatif ini berasaskan keperluan, kaum Bumiputra, yang kita semua sedia maklum merupakan kaum majoriti di negara kita, akan tetap juga menerima faedah daripadanya.”
#Chua Soi Lek #Cina #hukum #MCA #Najib Razak
;