MBSP nafi terlibat dengan pemberian vaksin COVID-19
Bernama
Julai 6, 2021 06:09 MYT
Julai 6, 2021 06:09 MYT
BUKIT MERTAJAM: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada Selasa menafikan kandungan mesej yang tular di aplikasi WhatsApp berhubung kerjasama pihak berkuasa tempatan itu dengan pengurusan sebuah pusat beli-belah di Seberang Jaya di sini bagi pemberian vaksin dan mengenakan bayaran RM50.
Datuk Bandar MBSP Datuk Rozali Mohamud berkata ketika ini, pihaknya tidak pernah bekerjasama dengan mana-mana syarikat atau pihak untuk pemberian vaksin COVID-19 kerana ia adalah di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan mana-mana informasi yang tidak sahih dan segera mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera," menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.
Tular mesej di aplikasi WhatsApp hari ini yang mendakwa MBSP dan sebuah pusat beli-belah telah menawarkan vaksin pada kadar bayaran RM50 untuk dua dos suntikan.
Menurut mesej itu, mereka yang berminat mendapatkan vaksin tersebut diminta memberikan nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan status kesihatan sama ada berpenyakit kritikal atau sebaliknya kepada nombor yang diberikan selewat-lewatnya pada 10 malam tadi.
-- BERNAMA
#nafi
#COVID-19
#vaksin
#WhatsApp
#suntikan
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#MySejahtera
#Seberang Perai
#mbsp
#bayaran RM50