MBSA nafi tawar iklan hartanah

Sinar Harian
Julai 24, 2024 04:30 MYT
MBSA tidak terlibat dengan sebarang iklan hartanah atau jual beli rumah di aplikasi Facebook menggunakan logo MBSA.
SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menafikan tawaran iklan berhubung beberapa iklan hartanah yang tular dan diiklankan secara dalam talian oleh pihak tidak bertanggungjawab.
MBSA dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima aduan dan pertanyaan daripada orang ramai berkenaan iklan-iklan terbabit di aplikasi Facebook yang menggunakan logo MBSA.
"Pihak MBSA ingin menegaskan bahawa MBSA sama sekali tidak terlibat dengan sebarang iklan hartanah atau jual beli rumah di aplikasi Facebook yang menggunakan logo MBSA.
"Selain itu, pihak MBSA juga tidak mempunyai sebarang kaitan dengan akaun Facebook yang menggunakan nama Shah Alam Majlis Perbandaran," kata kenyataan itu pada Rabu.
Pihak berkuasa tempatan itu berkata, saluran media sosial rasmi MBSA adalah Facebook (@shahalamcitycouncil), Instagram (@sacitycouncil), Twitter (@sacitycouncil) dan Tiktok (@sacitycouncil).
Sehubungan itu, MBSA menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan iklan yang mengelirukan dan palsu serta menggunakan logo atau nama PBT itu tanpa kebenaran di platform media sosial. - Sinar Harian
#MBSA #media sosial palsu #jualan hartanah #iklan hartanah