MBSA mohon maaf insiden pertengkaran kakitangan, pelanggan

Sinar Harian
Mei 17, 2022 06:25 MYT
Siasatan dalaman mendapati kejadian yang dirakam orang awam itu berlaku pada 26 April lalu berpunca daripada salah faham di antara seorang pelanggan dan petugas di kaunter berhubung nombor giliran. -Video tular
SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memohon maaf berikutan insiden pertengkaran membabitkan seorang kakitangannya dan seorang pelanggan semasa berurusan di kaunter Pejabat MBSA Cawangan Kota Kemuning yang tular pada Selasa.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, siasatan dalaman mendapati kejadian yang dirakam orang awam itu berlaku pada 26 April lalu.
Menurutnya, kejadian berpunca akibat salah faham di antara seorang pelanggan dan salah seorang petugas di kaunter berhubung nombor giliran.
"Salah faham ini telah dapat diselesaikan setelah pelanggan mengambil nombor giliran dan akhirnya meneruskan urusan pembaharuan lesen perniagaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Shahrin berkata, MBSA sedaya berusaha memastikan masalah itu tidak berulang dan berharap penjelasan itu dapat memberi gambaran sebenar terhadap isu video yang tular di media sosial.
"MBSA sentiasa mengalu-alukan sebarang pendapat dan cadangan daripada semua pihak demi meningkatkan lagi mutu dan kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh pihak MBSA," katanya.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, tular rakaman video seorang kakitangan MBSA dan seorang pelanggan bertengkar di kaunter Pejabat MBSA Cawangan Kota Kemuning pada Isnin.
Video durasi satu minit 38 saat itu menunjukkan berlaku provokasi antara kedua-dua individu terbabit namun punca sebenar pertengkaran tidak dapat dipastikan.
*Berita asal di Sinar Harian
#MBSA #pertengkaran staf dengan pelanggan #kaunter Pejabat MBSA Cawangan Kota Kemuning #video tular
;