MBSA dapatkan maklumat kakitangan bertengkar dengan pelanggan
Sinar Harian
Mei 17, 2022 12:30 MYT
Mei 17, 2022 12:30 MYT
SHAH ALAM: Tular rakaman video seorang kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan seorang pelanggan bertengkar di kaunter Pejabat MBSA Cawangan Kota Kemuning pada Isnin.
Video berdurasi satu minit 38 saat itu menunjukkan berlaku provokasi antara kedua-dua individu terbabit namun punca sebenar pertengkaran tidak dapat dipastikan.
Menerusi rakaman video itu, kakitangan dan individu terbabit masing-masing tidak berpuas hati antara satu sama lain
Kakitangan itu kemudian keluar dari kaunter dan menghampiri pelanggan sebelum dileraikan seorang individu lain dipercayai kakitangan MBSA.
Video terbabit mengundang pelbagai reaksi netizen yang menyifatkan perkara itu seharusnya diselesaikan secara baik.
Seorang pemilik akaun Twitter menggunakan nama Sab, di dalam komennya meminta supaya netizen tidak membuat sebarang andaian.
"Kita kena tahu punca. Di dalam media sosial ini kita hanya tunjuk (siarkan) apa yang kita mahu sahaja," katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara terbabit.
"Kita sedang dapatkan maklumat dan akan maklumkan kemudian," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian