MBSA dah banyak kali ambil tindakan - Penduduk

Astro Awani
Ogos 10, 2020 19:24 MYT
Tinjauan Astro AWANI di kawasan itu pada Isnin mendapati tiada lagi kelibat peniaga warga asing berniaga di tepi jalan malah kedai menjual buah dan rokok seludup didakwa milik peniaga asing juga sudah dirobohkan. - Astro AWANI
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah banyak kali mengambil tindakan terhadap peniaga warga asing yang berniaga di Bandar Baru Sungai Buloh.
Maklumat itu dikongsikan Pengerusi Persatuan Keharmonian Penduduk Bandar Baru Sungai Buloh, Kapten (B) Abu Hassan Mistari ketika Astro AWANI bertemunya di lokasi tersebut pada Isnin.
Menurutnya, selaku wakil penduduk di kawasan itu, sudah beberapa kali dia mengadukan perkara itu kepada pihak berwajib dan tindakan pun sudah beberapa kali diambil.
“Saya lihat memang banyak kali pihak MBSA datang untuk jalankan operasi hasil daripada apa yang saya sampaikan terutama kepada ahli majlis. Memang mereka datang untuk jalankan tugas.
“Saya perhatikan sendiri, memang tak dinafikan, peranan itu memang dilakukan mereka,” katanya kepada Astro AWANI.
Dalam pada itu, ketika ditanya operasi kedai judi di kawasan itu, Abu Hassan menegaskan dia tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung isu tersebut.
“Nak dikatakan banyak. Saya tak pasti sangat sebab peranan saya sebagai pengerusi penduduk, saya tak boleh sampai ketuk pusat judi.
“Cuma saya ada sampaikan kepada pihak berkenaan, mungkin ada (kedai judi) di lorong-lorong belakang.
“Nak katakan banyak, saya tak berani cakap tapi mungkin ada,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk tempatan, Tarmidzi Mois berkata, penduduk tempatan sebenarnya bimbang dengan sikap sesetengah peniaga yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan berniaga sehingga melebihi waktu dibenarkan.
Menurutnya, mereka enggan COVID-19 yang kian merebak dari Kedah menyerang Sungai Buloh pula.
“Virus ini dah sampai Shah Alam, dah dekat dah Shah Alam dengan Sungai Buloh, jiran sebelah saja, tak jauh pun. Itu sebenarnya yang penduduk bimbangkan.
“Mungkin ada yang kata apa nak hairan kalau mereka berniaga sampai jam 1 ke 2 pagi, tapi saya rasa kalau tak kena tempat sendiri, senanglah untuk anda bercakap.
“Kena di tempat sendiri nanti baru tahu,” katanya.
Tinjauan Astro AWANI di kawasan itu pada Isnin mendapati tiada lagi kelibat peniaga warga asing berniaga di tepi jalan malah kedai menjual buah dan rokok seludup didakwa milik peniaga asing juga sudah dirobohkan.
Khemah-khemah peniaga yang diletakkan di atas tapak parkir seperti didedahkan dalam video ‘Asri Janggut’ baru-baru ini juga sudah tidak kelihatan.
Berdasarkan maklumat daripada penduduk tempatan, pihak berkuasa melakukan operasi di kawasan itu pada Ahad dan difahamkan kedai menjual buah milik warga asing yang tular itu turut dirobohkan pada hari sama.
Menurut mereka, kawasan berhampiran yang biasanya dipenuhi peniaga kini juga lengang kerana peniaga bimbang barangan mereka turut disita dan dirampas dalam operasi pihak berkuasa.
Dalam pada itu, tinjauan mendapati kedai mesin judi yang ditularkan dalam video sama juga tidak beroperasi, pintu ditutup rapat dan tiada langsung motosikal berada di luar premis tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador meluangkan masa bertemu dengan Mohd Asri Hamid, 42, atau lebih dikenali dengan Asri Janggut di pejabat beliau pada Isnin.
Tindakannya itu mendapat pujian warganet yang senang dengan cara Abdul Hamid menangani isu berkenaan.
#Asri Janggut #Astro Awani #Hot Burger #Kedah #Ketua Polis Negara #Majlis Bandaraya Shah Alam #MBSA #Mohd Asri Hamid #operasi #peniaga #polis #shah alam #SOP #Sungai Buloh #Tan Sri Abdul Hamid Bador #video #warga asing
;