MBSA buka Taman Persahabatan Selangor-Jepun

Bernama
Mac 12, 2021 05:01 MYT
Taman Persahabatan Selangor-Jepun yang terletak bersebelahan Dataran Kemerdekaan Shah Alam kini dibuka kepada orang awam pada setiap hari mulai 10 pagi hingga 7 malam. --fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Taman Persahabatan Selangor-Jepun yang terletak bersebelahan Dataran Kemerdekaan Shah Alam diharap dapat menjadi mercu tanda baharu di Selangor seterusnya mampu menarik kedatangan pelancong tempatan dan luar negara ke negeri itu.
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim berkata taman yang menelan belanja RM3.8 juta itu mula dibina sejak 2018 dan siap sepenuhnya pada tahun lalu namun ditangguhkan pembukaannya ekoran pandemik COVID-19.
Haris berkata taman tersebut dibina sebagai tanda penghargaan kepada Jepun yang telah sekian lama kekal setia menjadikan Selangor sebagai satu daripada destinasi pelaburan.
"Kami harap taman ini menjadi mercu tanda baharu kepada para pelancong terutamanya dari Jepun serta pengunjung tempatan untuk melihat elemen-elemen berkaitan dengan Selangor," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pembukaan taman tersebut, di sini semalam.
Haris berkata pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan membuat pembukaan rasmi taman tersebut pada Oktober 2021 bersempena sambutan ulang tahun MBSA.
Katanya taman seluas 2.42 hektar itu asalnya merupakan sebahagian kawasan Tasik Timur, Taman Tasik Shah Alam, kini dibuka kepada orang awam pada setiap hari mulai 10 pagi hingga 7 malam dan masuk adalah percuma.
Haris berkata taman itu akan dimeriahkan dengan program persembahan kebudayaan Jepun dan Selangor pada setiap hari minggu.
Katanya taman tersebut mempunyai beberapa seni bina yang melambangkan elemen Jepun sebagai daya tarikan utama iaitu Laman Zen, Kolam Maze, Gerbang Torii, Tsukubai (Stone Basin), Laman Refleksologi dan Laman Teres serta menampilkan ciri unik iaitu dikelilingi pagar keselamatan berkonsepkan buluh.
-- BERNAMA
#shah alam #Jepun #keselamatan #pelaburan #pelancong #COVID-19 #pandemik #Taman Persahabatan Selangor-Jepun #Majlis Bandaraya Shah Alam #MBSA #pelabur Jepun #kerjasama dua hala #Haris Kasim #Mercu tanda #Taman Tasik Shah Alam
;