SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah merobohkan 205 daripada 225 papan tanda iklan haram di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu, setakat ini.

Pengarah Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS Hanizam Ahmad berkata pihaknya akan melaksanakan penguatkuasaan ke atas baki 20 papan tanda iklan haram sebelum 31 Ogos ini.

"Usaha membendung pembinaan papan tanda iklan haram ini penting kerana ia boleh mendatangkan risiko bahaya kepada pengguna lebuh raya," katanya kepada pemberita ketika membuat pemantauan penggunaan beg plastik sekali guna di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Beliau berkata selain perobohan papan tanda iklan, MBS akan mengambil tindakan lebih tegas termasuk membawa pihak terlibat ke mahkamah mengikut Akta Jalan Parit dan Bangunan serta Undang-Undang Kecil (UUK) Iklan.

Sebelum ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Zafir Ibrahim dilaporkan berkata MBS kerugian setengah juta ringgit ekoran pemilik produk dan perkhidmatan yang memasang papan tanda iklan haram.

Mohd Zafir berkata jumlah itu berdasarkan anggaran iaitu RM1,200 untuk cukai taksiran dan tidak termasuk permit bangunan dan lesen iklan serta tanah.

-- BERNAMA