MBS cadang pemberian air percuma ditingkatkan kepada 40 meter padu
Bernama
April 10, 2016 22:18 MYT
April 10, 2016 22:18 MYT
Kerajaan negeri Selangor disaran supaya meningkatkan dasar pemberian air percuma kepada 40 meter padu berbanding 20 meter padu sekarang bagi menangani peningkatan kos sara hidup, terutama golongan belia di negeri ini.
Pengerusi Majlis Belia Selangor (MBS) Datuk Irmohizam Ibrahim berkata kerajaan negeri sepatutnya meningkatkan dasar pemberian air percuma sehingga 40 meter padu setelah mengambil alih industri air sepenuhnya di Selangor menerusi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
"Cadangan itu sebagai usaha kerajaan negeri turut sama menangani kos sara hidup rakyat terutama golongan belia," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perundingan Belia Negara peringkat Selangor yang dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor Datuk Seri Noh Omar di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Irmohizam berkata kenyataan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali yang dilaporkan tidak menolak kemungkinan menyemak semula dasar pemberian air percuma 20 meter padu seolah-olah mengakui terdapat kepincangan dalam soal pengurusannya.
Mohamed Azmin dilapor berkata memandangkan kos pengambilalihan begitu tinggi, maka wajar kerajaan negeri mempertimbangkan supaya pemberian air percuma hanya diberikan kepada rakyat yang berpendapatan rendah.
Irmohizam turut mencadangkan agar kerajaan pusat melantik pimpinan belia di Selangor sebagai pasukan pemantau harga dalam usaha menangani kes peniaga yang menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.
Sementara itu, Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor mengingatkan pemimpin belia di Selangor agar menggunakan peruntukan yang diberikan kerajaan bagi menjalankan program yang memberikan manfaat kepada rakyat dan mengumumkan pemberian peruntukan RM180,000 bagi sembilan majlis belia daerah di Selangor menjalankan aktiviti.