MBPP tarik balik larangan jual alkohol ketika Thaipusam
Sinar Harian
Januari 24, 2024 16:35 MYT
Januari 24, 2024 16:35 MYT
GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menarik balik serta-merta notis larangan penjualan minuman beralkohol yang dikeluarkan kepada 51 premis sempena perarakan Thaipusam di negeri ini.
Keputusan itu dibuat selepas Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye dan MBPP menerima aduan daripada pengusaha yang menyoal keperluan melarang penjualan minuman beralkohol di lokasi-lokasi yang terletak jauh dari lokasi perarakan.
MBPP menerusi satu kenyataan berkata, setelah diteliti lebih lanjut mengenai aduan itu mendapati bahawa tidak timbul keperluan larangan itu meliputi keseluruhan laluan perarakan Thaipusam.
"Exco dan juga MBPP berpandangan adalah mencukupi dengan hanya mengadakan larangan ini di Jalan Gottlieb dan Jalan Utama sahaja seperti amalan setiap tahun sempena Hari Thaipusam.
"Oleh yang demikian, Exco terbabit telah mengarahkan MBPP agar 51 daripada 56 Notis Pemberitahuan yang dikeluarkan sebelum ini ditarik balik dengan serta-merta," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
Sebelum ini, MBPP telah mengeluarkan Notis Pemberitahuan pada 22 Januari mengenai Larangan Menjual Minuman Beralkohol di laluan perarakan yang berkuat kuasa dari 24 Januari sehingga 26 Januari ini.
Keputusan itu hasil Mesyuarat-mesyuarat Persiapan Sambutan Thaipusam yang dianggotai oleh agensi kerajaan dan pihak yang terlibat dalam sambutan Thaipusam dan notis berkenaan dikeluarkan kepada 56 premis di sepanjang laluan perarakan Thaipusam yang menjual minuman beralkohol.
Bagaimanapun dalam kenyataan MBPP pada hari ini memaklumkan hanya lima Notis Pemberitahuan untuk premis-premis yang menjual minuman beralkohol di Jalan Gottlieb dan Jalan Utama akan dikekalkan.
"MBPP telah pun mula menarik balik notis pemberitahuan berkenaan mulai waktu pagi 24 Januari.
"Pada masa yang sama, Exco juga memberi arahan bahawa segala cadangan dan keputusan untuk melarang penjualan minuman beralkohol pada masa yang akan datang perlu dirujuk kepada pihak kerajaan negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan untuk membuat keputusan," katanya lagi. - Sinar Harian