MBPP arah dua premis makanan ditutup serta-merta

Bernama
November 14, 2024 22:41 MYT
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan dua premis makanan di sekitar Daerah Barat Daya di sini ditutup serta-merta susulan penemuan najis tikus selain lantai dapur didapati kotor. - Foto Sinar Harian
GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan dua premis makanan di sekitar Daerah Barat Daya di sini ditutup serta-merta susulan penemuan najis tikus selain lantai dapur didapati kotor.
MBPP dalam kenyataan memaklumkan kedua-dua premis itu diberikan notis penutupan selama 14 hari oleh Jabatan Pelesenan yang menjalankan operasi pemeriksaan kebersihan dan pemantauan lesen ke atas premis perniagaan runcit dan makanan hari ini.
"Dalam operasi melibatkan 12 pegawai dari Jabatan Pelesenan, tujuh premis telah diperiksa dan dua daripadanya diarahkan tutup selama 14 hari berkuat kuasa serta-merta ekoran penemuan urungan tikus (najis tikus), markah rendah dan aspek lantai dapur tidak bersih," kata kenyataan itu.
MBPP memaklumkan tiga Notis Tawaran Kompaun (NTK) turut dikeluarkan berikutan dua daripadanya gagal mengemukakan bukti suntikan anti-tifoid manakala satu lagi notis atas kesalahan meletakkan makanan mentah kurang 20 sentimeter dari paras lantai.
Mengikut MBPP, semua pengusaha dan pekerja yang menguruskan premis perniagaan runcit dan makanan berkenaan turut diberi penerangan mengenai piawaian kebersihan dan garis panduan ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu bagi memastikan keterjaminan kebersihan berada di tahap yang baik.
-- BERNAMA
#MBPP #premis makanan #arah tutup #najis tikus
;