MBPP akan bina segera gerai penjaja Kompleks Huma House
Bernama
Julai 29, 2024 04:45 MYT
Julai 29, 2024 04:45 MYT
GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan membina semula gerai penjaja di Kompleks Huma House di Jalan Batu Ferringhi, yang musnah dalam kebakaran pada Ahad, secepat mungkin.
Datuk Bandar MBPP Datuk A. Rajendran berkata MBPP juga akan menyediakan tapak sementara di kawasan berhampiran, bagi membolehkan peniaga yang terlibat mencari rezeki.
"Usaha untuk membina semula kompleks tersebut akan dijalankan segera dan bagi isu punca kebakaran yang dikatakan akibat tumpahan minyak pula, kita ada mendengar mengenainya daripada peniaga di sini.
"Kita juga menunggu laporan dan pengesahan lanjut daripada pihak polis dan bomba, sekiranya ada berlaku kecuaian seperti yang disebutkan, kami akan mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas tinjauan di Kompleks Huma House, dekat sini, semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari.
Pada Ahad, media melaporkan 32 gerai penjaja di Kompleks Penjaja Huma House musnah dalam kebakaran namun tiada mangsa yang cedera.
Terdapat 40 gerai yang telah beroperasi selama 70 tahun dan ketika kejadian peniaga sedang berniaga, namun kesemua mereka termasuk pelanggan sempat menyelamatkan diri sebaik menyedari kebakaran tersebut.
Sementara itu, peniaga mendakwa kebakaran berpunca daripada tumpahan minyak petrol yang dibawa seorang beach boy dan api dikatakan bermula daripada tumpahan minyak tersebut, sebelum menyambar beberapa motosikal dan merebak ke gerai.
Pekerja pembersihan M. Muniandy, 70, berkata sebelum kebakaran itu berlaku, dia sedang menyapu sampah sebelum seorang beach boy membawa tiga tong minyak dipercayai petrol dengan menggunakan sebuah motosikal dan bahan tersebut kemudian tumpah.
"Ada yang mendakwa dia sedang merokok ketika itu, tetapi saya tidak nampak dia bawa rokok cuma ada percikan api yang menyambar minyak yang tumpah, sebelum api menyambar beberapa motosikal yang diletakkan di situ dan api merebak dengan pantas," katanya.
Peniaga minuman di kompleks itu Sim Poo Seng, 75, berkata dia hanya sempat menyelamatkan motosikalnya ketika kebakaran tersebut, kerana api merebak dengan cepat.
"Saya sedih kerana saya telah berniaga di sini sejak lebih 50 tahun dan kesemua barangan perniagaan saya musnah, saya berharap dapat kembali berniaga di kompleks ini semula selepas ia dibaiki," katanya.
-- BERNAMA