MBMB wujudkan bilik p-hailing pertama sebagai ruang rehat di Dataran Pahlawan
Bernama
Mac 16, 2025 10:15 MYT
Mac 16, 2025 10:15 MYT
Ab Rauf (dua, kanan) menyampaikan sumbangan pada Majlis Iftar Santai Bersama Ketua Menteri Melaka sempena Sambutan Ulang Tahun ke-22 Bandaraya Melaka di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, Melaka, 15 Mac 2025. --fotoBERNAMA
MELAKA: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mewujudkan bilik p-hailing pertama di Dataran Pahlawan di sini dengan pelbagai kemudahan untuk digunakan pekerja sektor perkhidmatan penghantaran makanan atau barangan yang menggunakan motosikal.
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata bilik p-hailing berkenaan boleh digunakan sebagai ruang istirahat bagi pekerja sektor itu sementara menunggu pesanan makanan atau barangan siap untuk dihantar kepada pelanggan.
Beliau berkata bilik p-hailing berkenaan dilihat dapat dimanfaatkan kira-kira 300 pekerja perkhidmatan yang beroperasi di sekitar pusat bandar Melaka.
"Pelbagai kemudahan disediakan dalam bilik p-hailing seperti penyaman udara, sofa, ruang solat serta tandas yang selesa untuk digunakan secara percuma.
"Bilik p-hailing tersebut diwujudkan untuk memberi ruang yang selesa kepada pekerja perkhidmatan itu berbanding menunggu pesanan di tepi jalan atau perhentian bas," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Iftar Santai sempena Sambutan Ulang Tahun ke-22 MBMB yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir di sini.
Shadan berkata inisiatif mewujudkan bilik p-hailing itu adalah sebahagian daripada usaha MBMB untuk membantu dan memudahkan urusan penghantaran pekerja perkhidmatan berkenaan.
Sementara itu, Ab Rauf berkata lebih banyak bilik rehat untuk pekerja p-hailing di beberapa lokasi bersesuaian akan diwujudkan pada masa hadapan.
Beliau berkata inisiatif berkenaan membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap pekerja p-hailing selain sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka menyumbang pada ekonomi negeri.
"Mungkin ada tiga lagi lokaliti yang kita akan wujudkan bilik p-hailing bergantung pada keperluan dan kedudukan lokasi berkenaan," katanya.
Terdahulu, pada majlis berkenaan, lebih 1,000 pengunjung meluangkan masa berbuka puasa dengan pelbagai juadah makanan dan minuman disediakan secara percuma.
MBMB turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM8,000 kepada empat persatuan beca di negeri itu selain bantuan berjumlah RM4,000 kepada Persatuan Rakan Penghantar Melaka dan Rumah Akhlak Bukit Baru.
-- BERNAMA