MBM kerjasama dengan KDN promosi POTA ke seluruh negara - Muaammar

Astro Awani
April 8, 2015 13:43 MYT
MUA'AMMAR: MBM kerjasama dengan KDN promosi POTA ke seluruh negara - Gambar fail
Majlis Belia Malaysia (MBM) akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam sesi penerangan Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 ke seluruh negara.
Presidennya, Mua’ammar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata, ia sudah dimulakan dalam sesi Himpunan Belia Tolak Ekstremisme dan akan diteruskan dalam perhimpunan berikutnya.
"Keganasan adalah fenomena global dan semua orang perlu menanganinya. Keganasan perlu dibendung melalui undang-undang yang sewajarnya, agar ia tidak menular dan menjadi ancaman kepada rakyat dan negara.
"Sambutan 38 badan gabungan MBM yang juga mewakili pelbagai pertubuhan agama serta 12 NGO lain dalam Himpunan Belia Tolak Ekstremisme baru-baru ini adalah bukti nyata rakyat atau masyarakat sivil khasnya orang muda menolak fahaman ekstremisme ini. MBM turut berpandangan bahawa perlu ada suatu langkah pemulihan dan pencegahan.
"Kita akan menggiatkan Kempen Belia Tolak Gejala Ekstremisme bersama Kesateria Muda Keselamatan di samping turut akan menjayakan Bengkel Cegah Ekstremisme yang telah diumumkan Menteri Dalam Negeri ketika merasmikan Himpunan Belia Tolak Ekstremisme baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Apa itu POTA?
Kata Mua’ammar lagi, pihaknya turut yakin POTA adalah satu bentuk langkah pencegahan dan pemulihan dalam menangani ancaman keganasan.
"Undang-undang bagi menangani ancaman keganasan ini perlu disokong oleh semua pihak kerana berlandaskan prinsip pencegahan daripada berlakunya sesuatu kerosakan.
"MBM juga percaya orang ramai akan memahami hasrat kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang ini bagi membendung keganasan jika mereka sedar tahap ancaman yang ditimbulkan oleh kumpulan militan IS atau sekutu mereka.
"Ancaman IS bukan ilusi dan pengaruhnya tidak tertumpu kepada kepada negara-negara Timur Tengah sahaja, kerana bukti kewujudannya telahpun muncul di Asia Tenggara termasuk rakyat Malaysia sendiri," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Dewan Rakyat lulus POTA selepas lebih 12 jam dibahas
Tegasnya, ancaman yang dicetuskan oleh IS adalah tanda jelas bagi orang awam untuk tidak mengaitkan POTA dengan politik atau mengaitkannya dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan.
"MBM melihat dalam konteks keselamatan awam merangkumi dua tanggungjawab besar yang perlu diberi tumpuan iaitu mempastikan kedaulatan negara dan menjaga keselamatan rakyat yang terangkum di bawah frasa ketenteraman awam. Bercakap soal ini, kerajaan wajar memikirkan tentang ancaman dan seterusnya melakukan persediaan dan bersedia menghadapi apa juga kemungkinan.
"Maka, dalam menangani situasi sebegini kerajaan tiada pilihan lain selain menyediakan satu undang-undang untuk menangani sebarang kemungkinan ancaman tersebut," jelasnya.
Dalam pada itu, Mua’ammar turut mengingatkan golongan belia untuk tidak terpengaruh dengan terma ‘keganasan suci’ yang cuba dikaitkan dengan konsep jihad dalam Islam.
ARTIKEL BERKAITAN: SAMM kecewa Ahli Parlimen PR ponteng sidang Dewan Rakyat
"Usaha Barat atau golongan orientalis untuk menyamakan terrorisme dengan konsep jihad dan Islam yang berjuang memerdekakan tanah air mereka dari penjajahan seperti yang berlaku di Palestin adalah satu usaha jahat untuk memburukkan Islam.
"Para belia harus sedar bahawa terrorisme atau perjuangan pengganas itu penuh kekeliruan, kecelaruan dan seringkali berasaskan tafsiran yang menyimpang dari ajaran agama yang sebenar," katanya.
#KDN #MBM #NGO #pota
;