MBM beri cadangan supaya anak muda hasilkan kandungan kreatif

Bernama
Julai 24, 2020 04:48 MYT
JUFITRI: Kerjaya sebagai 'YouTuber' sebagai contoh, telah membantu merancakkan ekonomi digital anak muda dan patut digalakkan pihak kerajaan, apatah lagi pasca COVID-19. - Gambar fail
Majlis Belia Malaysia (MBM) memberikan beberapa cadangan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), bagi menggalakkan serta menghargai idea dan kreativti anak muda dalam menghasilkan sesuatu video dengan kandungan yang baik.
Presiden MBM Jufitri Joha berkata, KKMM boleh menyediakan modul bagi meningkatkan kemahiran membuat video, supaya mengasah bakat golongan anak muda untuk menghasilkan kandungan kreatif, dan memberi pengiktirafan kepada anak muda yang memperoleh kejayaan menerusi karya seni kreatif.
Selain itu katanya, KKMM boleh menyediakan platform geran kepada anak muda yang ingin mengembangkan karya seni kreatif atau video mereka; memperluaskan prasarana dan kemudahan jalur lebar 4G sehingga ke kawasan pedalaman; serta memperbanyakkan dokumentari berkaitan Malaysia.
"Anak muda mempunyai pelbagai idea dan kreativiti untuk menghasilkan sesuatu melalui bidang seni kandungan kreatif. Penglibatan ramai dalam dunia seni ini, sebahagian besarnya adalah golongan muda.
"Kerjaya sebagai 'YouTuber' sebagai contoh, telah membantu merancakkan ekonomi digital anak muda dan patut digalakkan pihak kerajaan, apatah lagi pasca COVID-19," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai menyambut baik keputusan kabinet semalam, untuk tidak mengenakan lesen kepada pengguna media sosial bebas yang menghasilkan filem pendek kandungan kreatif, selain menyatakan bantahannya terhadap sebarang usaha ke arah pelesenan kepada golongan itu, tanpa sebarang perundingan dan persetujuan bersama.
Jufitri berkata, pengamal dan pengguna media digital, hanya memerlukan panduan dan etika penyiar yang betul, serta tidak perlu mengambil lesen kerana ia sangat tidak praktikal.
Terdahulu semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah memaklumkan, pengguna media sosial bebas menggunakan platform sedia ada seperti TikTok dan YouTube, termasuk menghasilkan dan memuat naik video seperti biasa, tanpa perlu memohon lesen atau bimbang didakwa oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Saifuddin berkata, kerajaan bertegas dengan pendirian untuk mendokong prinsip kebebasan media dan hak kebebasan individu, di laman media sosial.
-- BERNAMA
#filem #FINAS #kabinet #Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia #koronavirus #lesen #majlis belia malaysia #Media #media sosial #menteri #modul #Saifuddin Abdullah #video #YouTube
;