MBM beri amaran kepada PTPTN: Jangan banyak pusing
Kenyataan Media
Mei 17, 2019 18:49 MYT
Mei 17, 2019 18:49 MYT
MAJLIS Belia Malaysia (MBM) merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan berkenaan cadangan menyenarai hitamkan peminjam yang ingkar membayar dari keluar negara.
MBM berpendapat bahawa tindakan menyenarai hitamkan peminjam yang ingkar membayar semula pinjaman PTPTN adalah satu langkah membebankan. Namun di satu sudut ia adalah perlu khusus bagi peminjam yang benar-benar gagal menjalankan tanggungjawab melunaskan hutang sepertimana yang sepatutnya, walaupun hakikatnya berkemampuan untuk membayar.
Tindakan menyenarai hitam peminjam yang gagal hendaklah juga disusuli dengan satu pendekatan yang komprehensif di pihak PTPTN untuk mendefinisikan siapa yang dimaksudkan sebagai peminjam gagal dan ingkar ini. Ini termasuk setelah memastikan pendapatan isi rumah dan perbelanjaan yang perlu dilangsaikan oleh peminjam. Oleh itu, pendefinisian hanya melalui perolehan gaji tidak mencukupi dan perlu ditimbang semula oleh pihak PTPTN.
Berkaitan cadangan untuk menyenarai hitamkan lesen memandu, cukai jalan atau lesen perniagaan adalah satu cadangan yang ekstrem, membebankan serta menyusahkan rakyat. Kenderaan adalah keperluan asasi setiap orang dan menafikan hak ini tidak akan membantu PTPTN dalam mendapatkan kembali pinjaman yang telah diberikan. Lesen perniagaan pula adalah keperluan bagi mereka yang bekerja sendiri untuk menampung keluarga mahupun membayar pinjaman. Sekiranya mereka dinafikan lesen untuk berniaga, itu hanya membantutkan lagi usaha untuk mendapatkan kembali pinjaman, dan juga kerugian buat negara yang akan kehilangan sumber melalui cukai serta wujud kegiatan perniagaan haram.
MBM juga mengambil kesempatan ini untuk terus konsisten menyuarakan bahawa ujrah PTPTN harus dihapuskan untuk meringankan beban peminjam serta sekurang-kurangnya menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyediakan pendidikan percuma termasuk pendidikan tinggi.
MOHD IZZAT AFIFI ABDUL HAMID
Naib Presiden
Majlis Belia Malaysia
merangkap;
Pengerusi Biro Pendidikan MBM
#banyak pusing
#cukai
#cukai jalan
#gaji
#lesen memandu
#lesen perniagaan
#majlis belia malaysia
#Malaysia
#MBM
#Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid
#Peminjam
#pendapatan
#pendidikan percuma
#pendidikan tinggi
#PTPTN
#rakyat
#senarai hitam
#ujrah
#Wan Saiful Wan Jan