MBKM, agensi berkaitan perlu lebih giat majukan industri penerbitan buku - PM

Raja Hisyam Raja Zaid
Jun 4, 2022 22:20 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempat meninjau gerai jualan buku selepas merasmikan PBAKL 2022 di WTCKL malam tadi. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) serta agensi berkaitan perlu melaksanakan usaha lebih giat bagi memajukan lagi industri penerbitan buku tempatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, mereka juga perlu menggalakkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan bacaan dengan lebih giat supaya budaya membaca dalam kalangan rakyat di negara ini dapat dipupuk secara berterusan.
Jelasnya pembangunan sesebuah negara bergantung kepada rakyatnya yang berpengetahuan, berfikiran positif, rajin dan berdaya saing.
Malah ilmu pengetahuan, katanya dapat diperoleh melalui amalan membaca.
Beliau berkata, Jepun misalnya adalah sebuah negara yang memiliki masyarakat mengamalkan tabiat membaca yang tinggi yang menjadi faktor Negara Matahari Terbit tersebut kini mampu menjadi sebuah negara maju.
"Malah, lihat sahaja tokoh-tokoh atau ahli perniagaan dunia yang berjaya seperti Bill Gates, beliau membaca 50 buah buku setahun.
"Ini bermakna, Bill Gates membaca sekurang-kurangnya sebuah buku seminggu. Elon Musk, seorang bilionair dan pemilik firma penerokaan aeroangkasa, SpaceX menghabiskan lebih 10 jam sehari membaca novel sains fiksyen bagi menambahkan pengetahuannya tentang roket," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 kali ke-39 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini malam ini.
PBAKL 2022 kini diadakan semula secara bersemuka selepas dua tahun dilaksanakan secara dalam talian, berlangsung dari 3 hingga 12 Jun dan dijangka menarik kehadiran 700,000 hingga sejuta pengunjung.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, banyak tokoh atau ilmuwan di zaman kegemilangan Islam bukan sekadar menjadi pembaca tetapi juga penulis tersohor yang menghasilkan banyak buku yang tidak ternilai harganya.
Antaranya termasuklah karya-karya yang dihasilkan al-Biruni, Ibnu Sina yang bukan hanya menjadi rujukan sarjana Islam tetapi juga bijak pandai di dunia Barat.
Katanya, kegagalan mengekalkan budaya membaca bukan hanya menjejaskan dan menghancurkan usaha kerajaan membina sebuah negara bangsa yang berjaya tetapi juga membunuh industri buku dan karyawan-karyawannya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2022 Mohd Khair Ngadiron berkata acara selama 10 hari di WTCKL itu menempatkan lebih 700 gerai melibatkan hampir 200 penerbit tempatan dan antarabangsa termasuk Indonesia, Singapura dan Turki.
#Bill Gates #ismail sabri yaakob #pendidikan #budaya membaca
;