MBJB sasar turunkan 50 papan iklan tidak patuhi peraturan

Bernama
Januari 2, 2016 13:53 MYT
Kos operasi bagi menurunkan papan iklan yang berjumlah antara RM4,000 dan RM5,000 akan dikenakan terhadap pemilik premis terlibat. - Gambar fail
Majlis Bandaraya Johor Bahru menyasar untuk menurunkan kira-kira 50 papan iklan di sekitar bandar raya ini, yang dipasang tanpa mengikut peraturan yang ditetapkan.
Datuk Bandar A. Rahim Nin berkata operasi hari ini lebih menumpukan kepada penurunan papan iklan yang berlesen namun tidak mengikuti peraturan yang ditetapkan dalam Undang-undang Kecil Perlesenan MBJB 2010.
"Kita akan turunkan papan iklan yang melebihi saiz 20x40 yang menghalang pengudaraan, pencahayaan serta melitupi struktur bangunan," katanya kepada pemberita sebelum memulakan operasi penurunan papan iklan, di sini hari ini.
A Rahim berkata pihaknya serius dalam menangani pemasangan papan iklan itu berikutan ia mendatangkan pelbagai risiko kepada orang ramai sekiranya, berlaku kecemasan.
Katanya, kos operasi bagi menurunkan papan iklan yang berjumlah antara RM4,000 dan RM5,000 akan dikenakan terhadap pemilik premis terlibat.
"Papan iklan yang diturunkan ini akan diambil MBJB untuk tujuan pelupusan. Sekiranya pemilik premis menurunkannya sendiri, mereka boleh menyimpan besi, peralatan lain dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata tindakan menurunkan papan iklan ini juga, merupakan peringatan kepada pemilik premis yang mengabaikan notis yang dikeluarkan oleh MBJB.
"Bagi pemilik premis yang enggan membayar kos penurunan papan iklan itu, mereka akan berdepan tindakan mahkamah," katanya.
Tahun lepas, terdapat kira-kira 5,000 papan iklan dipasang oleh pemilik premis untuk menarik pelanggan dan tidak mengikut peraturan di seluruh negeri ini, katanya.
A Rahim berkata operasi yang bakal mengambil masa 8 jam itu, melibatkan 150 petugas terdiri daripada anggota MBJB dan kontraktor.
#Majlis Bandaraya Johor Bahru #papan iklan #undang-undang kecil perlesenan MBJB
;