MBJB nafi wujud pendaftaran vaksin kuota TMJ
Sinar Harian
Julai 23, 2021 11:54 MYT
Julai 23, 2021 11:54 MYT
JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menafikan satu mesej yang tular dalam media sosial ketika ini berkenaan terdapat borang pendaftaran Vaksin Pfizer, Kuota TMJ.
Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBJB dalam satu kenyataan memberitahu, mesej yang tular itu adalah palsu dan kuota tersebut tidak wujud.
Malah pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa borang yang dikatakan itu adalah borang pendaftaran bagi vaksin jenis Pfizer di bawah kuota mana-mana pihak.
"Borang tersebut adalah borang pendaftaran vaksin digunakan urusetia Southern Volunteers Johor Bahru bagi membantu mendaftarkan warga bandar raya ini yang masih belum mendaftar.
"Pendaftaran sama ada menerusi aplikasi MySejahtera atau menerusi laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) di www.vaksincovid.gov.my," jelas kenyataan itu pada Jumaat.
Tambah kenyataan itu, Southern Volunteers Johor Bahru turut menggunakan platform laman web JKJAV tersebut bagi menyemak dan mendaftarkan orang awam yang belum mendaftar vaksin.
"MBJB juga menafikan sebarang makluman yang mengatakan bahawa pendaftaran vaksin melalui borang Southern Volunteers lebih diutamakan untuk pemberian vaksin berbanding kaedah pendaftaran sendiri melalui aplikasi MySejahtera atau laman web JKJAV," tambah kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan, sehingga Khamis, Southern Volunteers Johor Bahru bersama-sama MBJB telah mendaftarkan seramai 30,008 penduduk bandar raya ini bagi menyokong usaha mencapai sasaran lebih 80 peratus rakyat Johor mendapatkan vaksin COVID-19.
Warga bandar raya digalakkan untuk segera mendaftar vaksin bagi memastikan imuniti kelompok dapat dicapai dan seterusnya melindungi diri, keluarga dan masyarakat dari wabak berkenaan.
"MBJB turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa menyemak maklumat diterima serta merujuk saluran rasmi berkaitan vaksin COVID-19.
"Semakan boleh dibuat sama ada melalui laman web dan media sosial rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), JKJAV, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Southern Volunteers atau MBJB," jelas kenyataan itu lagi.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian. MBJB nafi wujud pendaftaran vaksin kuota TMJ