MBI tidak lagi hantar bil cukai taksiran, urusan guna aplikasi DMBI
Bernama
November 15, 2023 16:58 MYT
November 15, 2023 16:58 MYT
IPOH: Bermula Julai lepas, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak lagi menghantar bil cukai taksiran secara fizikal kepada pelanggan sebaliknya semua urusan berkaitan perkara itu tersedia menerusi aplikasi DMBI.
Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata menerusi aplikasi itu, pelanggan berdaftar boleh membuat bayaran secara dalam talian menggunakan sistem pertukaran proses kewangan (FPX) dan e-dompet yang diperakui lebih cepat dan selamat selain dilengkapi sistem notifikasi sebagai peringatan terhadap bil terbaharu dikeluarkan.
"Pelanggan yang hadir ke kaunter bayaran telah diberikan hebahan dan penerangan terperinci berkaitan aplikasi DMBI dan bil secara digital ini.
"Bagi penambahbaikan pada masa akan datang, aplikasi DMBI ini juga akan menyediakan modul permohonan bayaran tunggakan cukai taksiran secara ansuran bagi meringankan bebanan pelanggan," katanya dalam satu kenyataan selepas melancarkan aplikasi DMBI di sini hari ini.
Pada Januari lepas, seiring amanat kerajaan, MBI telah membangunkan aplikasi mudah alih itu yang bertujuan memudahkan pelanggan untuk mengakses, menerima, menyemak serta membayar bil cukai taksiran tanpa mengira waktu dan tempat.
Beliau berkata sebanyak RM136,493 kutipan cukai berjaya direkodkan melalui aplikasi berkenaan dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berbanding RM123,133 yang dicatatkan menerusi kaedah konvensional sepanjang 2022.
Selain itu, Rumaizi berkata MBI menawarkan hadiah menarik dengan jumlah keseluruhan bernilai RM99,000 untuk Cabutan Bertuah Tahun 2024 bagi warga bandar raya ini yang membuat bayaran cukai taksiran setahun tanpa tunggakan menerusi mana-mana saluran pembayaran MBI.
"Antara 30 hadiah utama yang ditawarkan ialah sebuah kereta Perodua Axia 1.0 E (MT), empat motosikal 110cc, televisyen pintar bersaiz 65 inci dan beberapa barangan kelengkapan rumah atau digital serta 200 sagu hati berupa wang tunai.
"MBI juga menawarkan cabutan bertuah bulanan berjumlah RM9,000 bagi November dan Disember tahun ini kepada 20 pemenang," katanya.
Menurut Rumaizi MBI turut menawarkan rebat bayaran hingga RM5 kepada 20,000 pembayar terawal Cukai Taksiran Tahun 2024, tertakluk pada terma dan syarat.
-- BERNAMA