MBI siasat dakwaan Gua Matsoorat diceroboh selepas penggambaran drama
Amirrul Rabbani
Mac 27, 2021 12:01 MYT
Mac 27, 2021 12:01 MYT
IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengesahkan sedang menjalankan siasatan ke atas sebuah syarikat produksi drama yang sedang menjalankan penggambaran yang didakwa telah menceroboh Gua Matsoorat dekat sini seperti yang tular di media sosial sejak Jumaat.
Siasatan dilakukan berhubung kerosakan melibatkan sebuah fosil berusia jutaan tahun dan vandalisme pada dinding gua tersebut.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata pihaknya juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta melantik sebuah konsultan bagi menjalankan siasatan ke atas dakwaan itu.
"Setakat ini apa yang saya dapat laporan daripada Jabatan Mineral dan Geosains, memang ada satu fosil (yang rosak) tetapi ianya boleh dibaik pulih.
"Maknanya ia bukanlah kerosakan yang kekal. Tapi boleh dibaik pulih, namun mungkin akan melibatkan sedikit kos dan perlantikan konsultan pun kita sudah buat untuk baik pulih fosil," katanya.
Katanya lagi kerosakan itu hanya pada fosil terbabit dan tidak melibatkan lukisan purba pada dinding Gua Matsoorat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Gotong-royong Denai Sungai Kebangsaan bersempena Hari Air Sedunia di Dataran Sungai Kinta, dekat sini pada Sabtu yang dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zolkafly Harun.
Dalam pada itu, Rumaizi turut mengesahkan bahawa kelulusan pengambaran yang diberikan kepada syarikat produksi berkenaan hanya melibatkan kawasan di luar Gua Matsoorat sahaja.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa perkara seperti ditularkan itu berlaku pada luar kawalan syarikat produksi itu.
Tambahnya lagi, pihak produksi turut bertemu dengannya pada Rabu lalu bagi memberi penjelasan.
"Setakat ini kita masih memberi kebenaran kepada syarikat produksi berkenaan melakukan pengambaran di sekitar Bandar Raya Ipoh sehingga 30 April," katanya lagi.
Terdahulu, tular di laman sosial apabila pengguna Facebook mendedahkan terdapat kerosakan di Gua Matsoorat selepas penggambaran sebuah drama popular dijalankan selain mendakwa kru produksi membuang sampah merata-rata dengan perkongsian beberapa gambar menunjukkan kerosakan dan ukiran nama tajuk drama itu pada dinding gua.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi, dilaporkan berkata pihaknya menerima aduan berhubung kerosakan di tapak bersejarah itu dan kerajaan negeri akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu.
#Majlis Bandaraya Ipoh
#Gua Matsoorat
#Gua Matsoorat diceroboh
#penggambaran drama
#Datuk Bandar Ipoh
#Rumaizi Baharin
#fosil