MBI Selangor komited memangkin kelestarian sosial, alam sekitar dan ekonomi negeri

Harits Asyraf Hasnan
Julai 11, 2024 07:20 MYT
Saipolyazan berkata, MBI Selangor ketika ini memberi tumpuan kepada meletakkan asas kukuh untuk masa depan negeri selain menumpukan pada kejayaan melaksanakan RS-1. - Foto Astro AWANI
SHAH ALAM: Sejajar dengan visi Kerajaan Negeri Selangor untuk menjadikan Selangor sebagai Negeri Pintar di rantau ASEAN Menjelang tahun 2025, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) telah membuat pelbagai inisiatif yang komprehensif dan berimpak tinggi dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat Selangor.
Usaha ini adalah komitmen berterusan MBI Selangor dan anak-anak syarikatnya dalam membantu Kerajaan Negeri untuk memajukan negeri sambil menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Saipolyazan M Yusop berkata, sebagai Ketua Teras Strategik Pengukuhan Ekonomi di bawah Rancangan Selangor Pertama 2021-2025 (RS-1) yang melibatkan 108 projek, program dan inisiatif (PPI) merangkumi sembilan sektor tumpuan, dan tiga wilayah pembangunan.
"Keputusan untuk membangunkan wilayah tertentu iaitu Zon Pembangunan Ekonomi Selangor Maritime Gateway (ZPE SMG), Sabak Bernam Development Area (SABDA) dan Intergrated Development Region In South Selangor (IDRISS) di bawah RS-1 berpunca daripada analisis strategik terhadap kekuatan sedia ada dan potensi Selangor yang belum diterokai.
"Pembangunan ZPE SMG yang menjurus kepada menarik pelaburan bernilai tinggi dan berkonsepkan hijau di mana ia merangkumi pembangunan infrastruktur yang berkaitan dengan pemulihan dan pengindahan sungai dan pembangunan bercampur di pinggiran sungai untuk memaksimumkan potensinya sebagai hab maritim yang berkembang maju, menarik industri baharu dan meningkatkan aktiviti ekonomi.
"SABDA pula bertujuan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi di daerah Sabak Bernam dengan memfokuskan aktiviti-aktiviti ekonomi terutamanya dalam sektor pertanian dan ekopelancongan yang dijangka dapat membantu meyelesaikan isu keterjaminan makanan di Selangor.
"RS-1 juga berhasrat pembangunan SABDA dapat menarik pelaburan baharu untuk membangunkan aktiviti-aktiviti pertanian hiliran serta membangunkan infrastruktur dan kemudahan awam di samping dapat meneruskan usaha pembangunan wilayah yang seimbang di seluruh kawasan luar bandar dan bandar
dalam jangka masa panjang.
"Pembangunan IDRISS pula merupakan pembangunan pelaburan swasta bersepadu di daerah Sepang dan Kuala Langat dalam usaha untuk mempromosikan negeri sebagai hab pelaburan dan perdagangan yang dipacu oleh aktiviti perindustrian dan pembangunan berimpak tinggi.
"Wilayah ini mempunyai sumber tanah yang banyak dan lokasi yang strategik berhampiran rangkaian pengangkutan utama dengan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan menarik industri baharu ke kawasan ini, menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang di seluruh Selangor," katanya ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI.
Mengulas lanjut berkenaan kerangka dan aspirasi bagi RS-2, Saipolyazan berkata, pihaknya ketika ini memberi tumpuan kepada meletakkan asas kukuh untuk masa depan negeri selain menumpukan pada kejayaan melaksanakan RS-1 dan mencapai matlamat bercita-cita tingginya menjelang 2025.
"Di samping itu, banyak projek-projek dari RS-1 yang melibatkan pembangunan yang berjangka panjang dan berskala besar akan ditransisi kepada RS-2 dengan pemfokusan kepada pelaksanaan lebih strategik dan berkesan berdasarkan isu-isu dan cabaran yang dipelajari dari RS-1.
"Laporan kajian separuh penggal RS-1 juga telah siap dan akan di terbitkan tidak lama lagi," katanya.
Pada dasarnya, beliau berkata, RS-1 menyasarkan pembangunan strategik di seluruh Selangor, memanfaatkan kekuatan sedia ada dan membuka peluang baharu di setiap wilayah.
Jelasnya, pendekatan pelbagai serampang ini bertujuan untuk mewujudkan ekonomi yang berkembang maju dan pelbagai untuk seluruh negeri.
#Rancangan Selangor Pertama #MBI Selangor #ekonomi dan pelaburan Selangor #Niaga AWANI
;