MBI peruntuk RM300,000 baik pulih bumbung Pasar Pasir Pinji
Aida Aziz
September 4, 2021 12:13 MYT
September 4, 2021 12:13 MYT
IPOH: Sebanyak RM300,000 telah diperuntukkan bagi membaik pulih bumbung Pasar Pasir Pinji yang sudah uzur serta sering rosak dan bocor sebelum ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kerja membaik pulih pasar yang sudah beroperasi sejak 50 tahun lalu itu bermula pada 30 Ogos lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 22 September ini.
"Berikutan aduan peniaga Pasar Pasir Pinji berhubung kerosakan bumbung pasar tersebut, MBI telah bertindak pantas membelanjakan RM300,000 bagi membaik pulih bumbung pasar berkenaan.
"Sebelum ini, MBI melaksanakan pembaikan bumbung secara kecil-kecilan namun masih terdapat bumbung yang bocor semula dan pasar ini juga pernah berlaku litar pintas beberapa kali yang boleh membahayakan peniaga dan pengunjung pasar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program turun padang ke pasar tersebut, di sini pada Sabtu.
Ujarnya lagi, pada asalnya pasar ini dicadangkan untuk dibina baharu memandangkan keadaannya yang terlalu uzur, namun sehingga kini belum mendapat peruntukan daripada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
"Tapi memandangkan peruntukan saya fikir masih belum lagi diluluskan, yang terakhirnya mereka minta kita buat permohonan baharu.
"Jadi kita gunakan peruntukan menerusi peruntukan pembangunan kita bagi tahun 2020/2021 iaitu RM28 juta, sebahagiannya RM300,000 kita gunakan untuk baiki bumbung dahulu.
"InsyaAllah kalau tidak ada masalah, mungkin tahun depan kita akan tambah sedikit demi sedikit, mana yang kritikal kita baiki satu persatu.
"Bila saya dengar cerita orang (peniaga) di sini selalu berhadapan dengan bumbung bocor dan litar pintas dan nyawa boleh hilang kalau terbakar, jadi saya rasa benda ini kita tidak boleh tangguh lagi jadi kita cari peruntukan dalaman dan bantu dulu rakyat," katanya lagi.
Dalam pada itu Rumaizi menjelaskan, MBI dan pihak kontraktor telah merangka program kerja sebelum memasuki tapak iaitu pelaksanaan kerja membaik pulih bumbung secara berperingkat mengikut blok yang mana kaedah ini tidak menyebabkab peniaga perlu menghentikan operasi.
"Pihak kontraktor juga hanya memulakan kerja penukaran bumbung selepas pukul 1 tengah hari setiap hari yang mana waktu tersebut pasar dalam keadaan tidak aktif dan para peniaga tidak perlu memberhentikan operasi perniagaan.
"Ahli Majlis MBI turut terlibat secara langsung dalam kerja-kerja membaikpulih kerana Ahli Majlis MBI telah menyalurkan aduan tersebut kepada MBI serta memberi pandangan, khidmat nasihat dan memantau kerja-kerja tersebut," katanya lagi.
Rumazi turut berharap kerja baik pulih ini akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada peniaga dan pengunjung pasar pada masa akan datang.
Sementara itu, salah seorang peniaga di pasar ini, Lie Mei Lee, 55, menzahirkan rasa penghargaan dan lega dengan usaha MBI untuk membaik pulih pasar berkenaan, yang dikatakan sudah terlalu uzur.
"Sangat puas hati sebab boleh selesaikan masalah kami sejak lima tahun lebih.Kami sudah buat aduan beberap kali, sebab banyak lubang di dinding dan kalau hujan air akan tempias.
"Terima kasih kepada Datuk Bandar dan Ahli Majlis yang sama-sama terbabit untuk membantu peniaga di sini," ujarnya.