MBI laksana projek tingkat kualiti Sungai Kinta
Amirrul Rabbani
Januari 16, 2022 11:03 MYT
Januari 16, 2022 11:03 MYT
IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Negeri Perak bagi meningkatkan kualiti air di Sungai Kinta.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata satu projek berkenaan perkara itu dilaksanakan pada tahun ini dengan anggaran kos RM1 juta.
“Untuk maklumat Sungai Kinta bukanlah berada dalam kategori yang membimbangkan sebaliknya berada pada bacaan kelas dua dan tiga.
“Jadi dengan projek yang akan dijalankan itu nanti, kita berharap kualiti Sungai Kinta dapat ditambah baik kepada kelas dua sepenuhnya ataupun terus kepada kelas satu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Pelancaran Pembukaan Semula Kinta Riverwalk di sini pada Sabtu malam.
Pelancaran dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi serta turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Hasri A Hasan.
Dalam pada itu Rumaizi berkata kerja-kerja pembersihan Sungai Kinta itu juga sebagai usaha memastikan keselesaan pengunjung di Kinta Riverwalk yang terletak di pesisir sungai berkenaan berada pada tahap baik.
“Kerja-kerja pembersihan Sungai Kinta memang sedang dibuat. Perkara ini mengambil beberapa hal teknikal yang mana kita mendapat khidmat nasihat daripada JPS,” tambah beliau.
Pada perkembangan sama, Rumaizi berkata MBI juga bersedia untuk menaik taraf sistem pencahayaan secara berfasa di sekitar kawasan Kinta Riverwalk bagi tarikan dan keselesaan pelancong.