MBI hantar misi bantuan banjir ke PBT Selangor dan Pahang

Aida Aziz
Disember 21, 2021 11:32 MYT
Rumaizi (tengah) menyempurnakan Majlis Pelepasan Misi Bantuan Banjir MBI ke PBT Selangor dan Pahang, di Taman Rekreasi Gunung Lang. - Astro AWANI
IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini menghantar seramai 23 orang anggota, kenderaan serta pek bantuan keperluan harian, khusus untuk misi bantuan mangsa banjir di Selangor dan Pahang.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata bantuan tersebut akan dihantar kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri tersebut yang terjejas teruk akibat banjir.
"MBI menyahut saranan Menteri Besar semalam yang mana Perak akan menghantar bantuan kepada mangsa banjir, terutamanya di Selangor dan Pahang.
"Misi kita hari ini ialah dengan menghantar staf lapangan untuk membantu kawasan di Selangor iaitu Kuala Langat, di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pula di RPT Bukit Changgang.
"Kita hantar 23 orang anggota MBI, 10 dari Jabatan Landskap dan selebihnya dari Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasa. Termasuk dua kenderaan pacuan empat roda, dua lori, tiga van serta sebuah bot penyelamat," katanya.
Rumaizi menambah pihaknya turut membawa 100 pek bantuan keperluan harian di bawah Program MBI Prihatin bagi meringankan beban penduduk di kawasan terjejas.
Rumaizi berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Misi Bantuan Banjir MBI ke PBT Selangor dan Pahang, di Taman Rekreasi Gunung Lang di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Ahli Majlis MBI Abu Bakar Hussian, Setiausaha Bandaraya MBI Ahmad Munir Ishak serta Pengarah Perlesenan dan Penguatkuasaan Bandaraya, Ahmad Zaiyadi Sudin.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas kerja-kerja dan persediaan MBI untuk menghadapi banjir di bandar raya ini.
"Kita sudah dapat laporan tentang berlakunya monsun pada November lalu, ia dijangka berakhir bulan dua tahun depan.
"Jadi kita sudah mulakan kerja-kerja pembersihan walaupun tak dinafikan memang ada berlaku banjir kilat di Ipoh. Apa yang boleh kita lakukan sekarang ialah kurangkan risiko banjir.
"Tapi saya nak tekankan di sini, apa yang berlaku di sana (Selangor dan Pahang) luar biasa. Sebagai contoh kebanyakan hujan di Ipoh bawah 100mm tapi sekarang sudah lebih, macam di Taman Cempaka baru-baru ini, catat 134mm," katanya lagi.
Justeru katanya, MBI telah memulakan kerja pembersihan longkang dan pendalaman sungai, untuk mengelakkan risiko banjir.
"Kalau ada yang perasan kita sudah mula korek sungai pada bulan lepas, termasuk cuci longkang sebulan sekali untuk pastikan tiada sampah sarap dan air boleh mengalir dengan baik," katanya.
#banjir #bantuan keperluan harian #Selangor #Pahang
;