MBI edar lebih 50,000 tong sampah kepada warga Ipoh

Abd Razak Mohd Ali
April 9, 2023 10:20 MYT
Rumaizi (tiga, kanan) hadir pada majlis pengagihan 714 unit tong sampah kepada penduduk Taman Meru 2B di Ipoh, hari ini. - Foto Astro AWANI
IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah mengedarkan 50,323 unit tong sampah kepada penduduk bandar raya itu bagi membudayakan amalan penggunaan tong berkenaan dalam kalangan warganya.
Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata, program itu dimulakan sejak April 2021 bagi meningkatkan kualiti persekitaran yang bersih dalam usaha merealisasikan hasrat menjadikan Ipoh sebagai Bandar Raya Terbersih di Malaysia tahun ini.
Menurutnya, bagi mencapai hasrat tersebut, serta Ipoh Bandar Raya Bestari Sejahtera, tidak hanya memadai dengan penyediaan perkhidmatan, infrastruktur dan kemudahan awam kepada masyarakat.
Sebaliknya, kata beliau, masyarakat perlu dididik untuk berubah ke arah kehidupan yang membudayakan kebersihan dan penjagaan alam sekitar.
“Melalui program ini diharap dapat mewujudkan tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan serta menjadikan amalan menjaga kebersihan sebagai suatu budaya seawal dari rumah.
"Dan seterusnya melahirkan masyarakat yang menghargai dan mengutamakan kebersihan dan keindahan persekitaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pengagihan 714 unit tong sampah kepada para penduduk di Taman Meru 2B di sini, hari ini.
Rumaizi berharap, menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, pengedaran tong sampah dapat digunakan dengan baik oleh penduduk bagi memastikan kebersihan dan persekitaran sentiasa terpelihara.
“Semoga program pagi ini akan menjadi titik tolak untuk mencapai matlamat menjadikan Ipoh sebagai Bandar Raya Terbersih di Malaysia dan Bandar Raya Bestari Sejahtera,” ujarnya.
#tong sampah #Ipoh #Rumaizi Baharin #kebersihan alam sekitar
;