MBI beri amaran anggota cuai tampal notis bahasa Inggeris
Bernama
Januari 1, 2018 20:13 MYT
Januari 1, 2018 20:13 MYT
Kesalahan penulisan notis bahasa Inggeris di Pusat Penerangan Pelancongan Perak di sini berpunca daripada kecuaian seorang kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di pusat berkenaan.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata pihaknya telah menjalankan siasatan dan akan memanggil anggota tersebut untuk mendapatkan penjelasan terperinci bagaimana kesilapan itu boleh berlaku.
Beliau menegaskan sekiranya terdapat kecuaian jelas dan kesilapan tersebut dilakukan tanpa memikirkan risiko, pihak MBI akan memberi surat tunjuk sebab kepada anggota berkenaan agar dapat memberikan penjelasan secara bertulis.
"Anggota berkenaan juga akan diberikan surat amaran keras serta nasihat supaya isu seumpama itu tidak akan berulang di masa hadapan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Notis berbahasa Inggeris yang ditampal di pintu masuk pusat berkenaan minggu lepas memberitahu orang ramai bahawa premis tersebut ditutup pada 30 dan 31 Dis berikutan masalah talian Internet dan penyaman udara, namun hampir kesemua ayat menggunakan tatabahasa bahasa Inggeris yang kurang tepat.
-- BERNAMA