MBAM mohon tempoh penangguhan setahun patuhi pindaan Akta 446
Bernama
April 9, 2021 04:14 MYT
April 9, 2021 04:14 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) dan persatuan gabungannya meminta kerajaan untuk memberi mereka masa mematuhi pindaan kepada Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Mereka merayu tempoh penangguhan selama setahun.
Dalam kenyataan pada Jumaat, MBAM berkata penangguhan itu akan memberi peluang kepada industri untuk lebih bersedia dari segi masa dan kewangan untuk mematuhi syarat pindaan terkini kepada Akta 446.
Katanya beberapa isu yang menjejaskan industri melibatkan Akta 446, seperti tempoh kelulusan yang panjang untuk permohonan permit bangunan sementara atau Sijil untuk Penginapan (CFA) melalui http://akta446.mohr.gov.my/.
"Ini antara beberapa isu yang dibangkitkan dalam sesi dialog yang diadakan baru-baru ini yang melibatkan lebih 40 wakil," katanya.
Kebimbangan lain yang dinyatakan adalah pembayaran levi berganda yang perlu dibayar oleh industri pembinaan kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Dana Pembangunan Sumber Manusia untuk tujuan latihan.
MBAM berkata pihaknya menghadiri sesi pertemuan dengan Kementerian Sumber Manusia pada 30 Mac 2021, dan berharap rayuan berhubung perkara itu akan dipertimbangkan.
Katanya wakil dari sektor awam turut hadir dalam pertemuan tersebut, termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, CIDB dan Construction Labour Exchange Centre Bhd.
-- BERNAMA
#Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia
#Akta 446
#MBAM
#Akta Standard Minimum Perumahan
#permohonan permit bangunan sementara
#Sijil untuk Penginapan
#cfa