MBAM minta kerajaan beri subsidi bagi kos berkaitan COVID-19 melibatkan pekerja asing

Bernama
Januari 27, 2021 04:51 MYT
MBAM berkata tidak adil untuk pihak kontraktor menanggung kos kuarantin, ujian saringan dan kos rawatan perubatan melibatkan pekerja asing. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) meminta kerajaan mempertimbangkan supaya memberi subsidi sepenuhnya terhadap kos kuarantin, ujian calitan COVID-19 melibatkan pekerja asing,
Ia bertujuan meringankan beban industri pembinaan dan menggalakkan ujian saringan besar-besaran dengan menggunakan peralatan pada harga yang berpatutan, kata MBAM.
"Tidak adil untuk pihak kontraktor menanggung kos kuarantin, ujian saringan dan kos rawatan perubatan kerana majikan di industri pembinaan menghadapi masalah kewangan yang semakin meningkat," katanya.
"Ketika ini, pelanggan tidak mahu berkongsi kos tersebut kerana semua ini adalah kos yang tidak dijangka sehingga menimbulkan masalah aliran tunai untuk kontraktor," katanya dalam satu kenyataan.
MBAM berkata ia adalah antara isu dan cadangan yang dibincangkan semasa sesi perbincangan yang diadakan secara maya dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) baru-baru ini.
Semasa perbincangan tersebut, MBAM juga menyatakan bahawa wujud keperluan untuk mengkaji semula Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 kerana industri memerlukan masa yang mencukupi dan menanggung kos bersama.
Di bawah RUU tersebut, ketidakmampuan pihak untuk melaksanakan kewajiban untuk kategori kontrak tertentu (termasuk kontrak pembinaan) kerana usaha untuk mengekang penularan COVID-19 dalam jangka waktu tertentu tidak akan melibatkan pihak lain yang menjalankan tugasnya atau hak mereka di bawah kontrak tersebut.
"Buat masa ini, pemaju diberi tempoh selama 167 hari oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tetapi tidak dinyatakan untuk kontraktor dan terlalu banyak kos pematuhan tambahan dikenakan kepada kontraktor," katanya.
MBAM mencadangkan kos ini harus ditanggung bersama secara sama rata oleh kontraktor dan pelanggan.
-- BERNAMA
#Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia #MBAM #COVID-19 #pekerja asing #ujian saringan #kerajaan #subsidi #majikan #Industri Pembinaan #masalah kewangan #ujian calitan #undang-undang #pemaju perumahan #Kontraktor #kos #kuarantin #cidb #aliran tunai #kontraktor binaan
;