MBAM harap kerajaan perkenal langkah khas untuk industri binaan

Bernama
Mac 28, 2020 05:45 MYT
Foo berkata, pengecualian levi penting bagi membolehkan pemain industri binaan berupaya menampan impak kewangan yang dialami mereka. - Foto Facebook
Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) berharap kerajaan dapat memberi Lanjutan Masa (EOT) membabitkan projek-projek kerajaan dan swasta sepanjang tempoh penularan COVID-19.
Ini termasuk masa remobilisasi bagi mengurangkan tekanan terhadap syarikat kontrak terbabit dan mengelak mereka daripada dikenakan penalti Gantirugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) akibat isu tidak dijangkakan dan di luar kawalan.
Presidennya, Foo Chek Lee berkata langkah itu juga bagi membantu industri pembinaan mengelakkan isu-isu kontrak dan litigasi yang tidak wajar pada peringkat seterusnya.
"Bagi melancarkan aliran tunai industri, kami berharap dapat menerima pembayaran segera membabitkan projek-projek kerajaan, terutama bagi Mac 2020 di semua peringkat.
"Ini pastinya dapat meringankan beban kewangan dan aliran tunai kontraktor. Kerajaan juga diharapkan dapat mempertimbang sejumlah bayaran berbanding sijil tanpa kelewatan dan melepaskan jumlah yang dilindungi oleh jaminan bank," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, MBAM juga berharap kerajaan akan mempertimbang pengecualian levi untuk pekerja memperbaharui permit kerja selama setahun dan membenarkan pembayaran levi pekerja asing baharu secara suku tahunan selama dua tahun selepas COVID-19 dapat dibendung.
Beliau berkata, ini penting bagi membolehkan pemain industri binaan itu berupaya menampan impak kewangan yang dialami mereka.
"Selain itu, ini merupakan masa yang tepat bagi industri binaan sekiranya kerajaan dapat mengembalikan baki Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan seberapa segera agar aliran tunai itu dapat ditingkatkan," katanya.
-- BERNAMA
#aliran tunai #beban kewangan #COVID-19 #cukai #Foo Chek Lee #GST #impak #industri binaan #Kontraktor #koronavirus #lanjutan masa #MBAM #pekerja asing #penalti #pengecualian levi #permit kerja #projek kerajaan #projek swasta #remobilisasi #tekanan
;