MB Terengganu terjatuh kuda, semua program MB ditangguh - Pejabat MB

Bernama
Februari 6, 2017 17:56 MYT
Pejabat MB Terengganu menangguhkan semua program melibatkan MB Datuk Seri Ahmad Razif ke satu tarikh yang akan diberitahu kemudian. - Gambar fail
Pejabat Menteri Besar Terengganu menangguhkan semua program melibatkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman ke satu tarikh yang akan diberitahu kemudian.
Menurutnya, ini berikutan menteri besar memerlukan pengawasan doktor sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam selepas terjatuh kuda dalam sesi latihan di sebuah pusat ekuestrian di ibu negara hari ini.
"Marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah SWT akan mengurniakan kesembuhan dan semoga Yang Amat Berhormat (Ahmad Razif) pulih segera," menurut Pejabat Menteri Besar dalam kenyataan di sini.
Sementara itu, menurut kenyataan di Facebook Pegawai Khas kepada Ahmad Razif, Ahmad Fauzan Abd Kadir, menteri besar kini di rawat di sebuah hospital swasta di ibu negara dan berada dalam keadaan stabil.
"Tiada perkara serius berlaku ke atas Menteri Besar Terengganu. Beliau sedang dirawat di bawah pengawasan doktor di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. Keadaan beliau adalah baik. Terima kasih atas doa anda semua," menurut kenyataan itu.
Ahmad Razif dimasukkan ke hospital tersebut pada kira-kira 11 pagi tadi selepas terjatuh kuda ketika sedang menjalani latihan di sebuah pusat ekuestrian di ibu negara.
-- BERNAMA
#Ahmad Fauzan Abd Kadir #Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman #kuda
;