MB Terengganu sifatkan dakwaan penyelewengan sebagai permainan politik pembangkang
Astro Awani
Februari 23, 2014 08:10 MYT
Februari 23, 2014 08:10 MYT
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said tidak mahu diheret dalam permainan politik pihak pembangkang yang menimbulkan dakwaan penyelewengan projek oleh kerajaan negeri baru baru ini.
Sebaliknya, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk sebarang tindakan siasatan mahupun pendakwaaan.
Beliau menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi membuat laporan SPRM itu tidak lebih sekadar permainan politik.
“Tak apalah, macam saya kata tadi... benda ni dia hantar dah dulu. Tetapi dia nak main politik (jadi) saya serah pada SPRM,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok di Kemaman pada Sabtu.
Semalam, Syed Azman bersama Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail yang juga ADUN Bandar dan Anggota Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menyerahkan apa yang didakwa sebagai dokumen berkaitan salah laku dan penyelewengan kerajaan negeri itu kepada SPRM di Kuala Lumpur.
ADUN Batu Burok berkenaan mendakwa menyerahkan enam dokumen yang berkaitan dengan isu Pasar Payang, pembalakan, perlombongan, Lebuhraya Pantai Timur 2 dan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Kedua ADUN pembangkang itu ditemui pemberita di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia bagi menyerahkan dokumen bukti kes tersebut kepada Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kasim Mohamed.
Mengenai kes bumbung stadium runtuh, Raja Kamarul mahukan penjelasan mengapa sehingga hari ini, sudah lima tahun stadium tersebut ditutup. Namun masih belum dikenalpasti siapa yang bertanggungjawab yang merekabentuk bumbung tersebut walaupun sudah tiga kali perkara ini ditumbulkan dalam Parlimen.