MB Terengganu lawat kem pelarian Rohingya bulan depan
Bernama
Oktober 26, 2017 10:40 MYT
Oktober 26, 2017 10:40 MYT
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman akan mengetuai rombongan kemanusiaan ke kem pelarian Rohingya di Bangladesh pada pertengahan bulan depan.
Beliau berkata Tabung Terengganu For Rohingya atau 'Sekampit Beras Untuk Rohingya' dijangka dapat mengumpul sumbangan lebih RM2 juta untuk disalurkan kepada mangsa pelarian.
"Setakat ini jumlah kutipan tabung sudah melebihi sasaran awal RM1 juta dalam tempoh dua bulan. Paling banyak memberi sumbangan ialah pihak sekolah. Saya rasa amat bangga sebab pihak sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) berjaya menyemai budaya bersedekah seawal peringkat murid sekolah rendah," katanya kepada pemberita pada majlis penyampain bantuan perpindahan kepada 23 keluarga Lembah Harapan di sini pada Rabu.
Tabung Sekampit Beras turut digerakkan ke seluruh negara menerusi persatuan anak perantau Terengganu di setiap negeri.
Ahmad Razif berkata penyerahan tabung itu akan diadakan pada 29 Oktober ini di Stadium Negeri, Kuala Terengganu.
"Kutipan ini bagaimanapun belum menerima sumbangan dari mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, jadi GLC negeri juga akan membuat sumbangan dan saya yakin jumlahnya akan bertambah melebihi RM2 juta.
"Saya sendiri akan mengetuai rombongan kemanusiaan ini ke sana sebagai wakil rakyat Terengganu yang prihatin dengan keperitan hidup mereka," katanya.
Turut serta dalam rombongan kemanusiaan itu ialah Mercy Malaysia dan Sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) untuk menyampaikan pelbagai bantuan kemanusiaan kepada pelarian.
-- BERNAMA
#Ahmad Razif Abd Rahman
#Bangladesh
#beras
#GLC
#Menteri Besar Terengganu
#mercy malaysia
#Rohingya
#Sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu
#sumbangan
#tabung rohingya