MB Selangor nafi kerajaan negeri akan ambil alih tanah kuil
Dania Zainuddin
November 29, 2018 15:19 MYT
November 29, 2018 15:19 MYT
Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari menolak dakwaan kerajaan negeri akan mengambil alih tanah kuil Sri Maha Mariamman yang terpalit dalam insiden rusuhan pada Isnin.
Tegasnya, pihak beliau masih menilai semua langkah penyelesaian dalam memastikan masyarakat India dan operasi kuil dapat berjalan seperti biasa.
“Sebarang khabar angin kononnya kerajaan negeri akan gunakan wang pembayar cukai untuk ambil alih tapak kuil tersebut adalah satu perkara yang tidak benar.
“Dakwaan itu juga masuk ‘premature’ (terlalu awal) dan tidak ada kesimpulan yang dibuat. Saya lihat lebih baik kita bawa ke meja rundingan untuk berbincang,” kata Amiruddin dalam satu sidang media di Dewan Annexe, SUK, di sini.
Amiruddin juga berkata langkah-langkah penyelesaian yang bakal dibuat juga perlu mengambil kira kos kerajaan negeri.
“Kalau kosnya terlalu besar saya rasa tidak adil juga dan bimbang akan letak ‘precedent’ (duluan) yang tidak begitu baik.
“Saya rasa kos juga agak tinggi dan tidak adil untuk pembayar cukai yang lain," katanya.
Terdahulu sebuah portal melaporkan kenyataan sumber yang mendakwa Selangor akan mengambil alih tanah lokasi kuil itu.
Dalam perkembangan sama, perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis berkata terpulang kepada kerajaan negeri jika berhasrat mengambil alih tanah kuil tersebut.
Namun, beliau menegaskan isu pemilikan tanah itu masih terikat kepada keputusan mahkamah.