MB Selangor bantu rider p-hailing 'Saifulxander'
Sinar Harian
April 12, 2023 11:50 MYT
April 12, 2023 11:50 MYT
SHAH ALAM: Luahan kekecewaan seorang penghantar makanan yang mendakwa dizalimi majikannya berhubung soal pembayaran gaji mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Perkara itu dikongsi individu berkenaan yang dikenali sebagai Muhd Saifuddin Mustafa, 28, menerusi video rakaman berdurasi lebih 30 saat dimuat naik di aplikasi TikTok menggunakan akaun 'Saifulxander'.
Kemesraan ditunjukkan Menteri Besar menyambut kedatangan Muhd Saifuddin ke kediamannya turut menarik perhatian netizen selepas ia dimuat naik ke platform media sosial itu pada Selasa.
"Alhamdulillah tahniah kedua-duanya, lega rasa bila Menteri Besar sendiri ambil tahu," kata Radzuan Maasan di ruangan komen yang turut mendapat 63 tanda suka.
Sementara itu, Kaki Sidai pula berkata, Menteri Besar sebelum ini juga telah memberikan bantuan kepada 500 penghantar makanan di negeri berkenaan.
"Menteri Besar ini juga memberi 500 bantuan kepada rider-rider, terbaik Pakatan Harapan," ciapnya di ruangan komen video dimuat naik di aplikasi TikTok menggunakan akaun 'Saifulxander' itu.
Pada Isnin, tular di laman sosial seorang penghantar makanan sebuah syarikat menzahirkan kekecewaan apabila mendakwa dizalimi oleh majikannya berhubung soal pembayaran gaji.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di aplikasi media sosial TikTok, lelaki berkenaan mendakwa gaji yang sepatutnya diterima berjumlah RM800 bagaimanapun individu berkenaan mendakwa hanya menerima bayaran sejumlah RM500.
Menurutnya, persoalan itu telah diajukan kepada syarikat berkenaan.
Bagaimanapun katanya, majikannya menyatakan soal pembayaran gaji dibuat dengan secukupnya selain isu penggantungan akaun (ID) adalah disebabkan kekerapan membuat pembatalan penghantaran.
Individu berkenaan yang baharu sahaja pulih daripada penyakit kanser tahap tiga mengharapkan rakaman berdurasi lebih dua minit itu mendapat perhatian majikannya.
Video yang dimuat naik di aplikasi TikTok menggunakan akaun 'Saifulxander' itu juga setakat ini telah mendapat sebanyak lebih 323,000 tontonan.
Dalam pada itu, syarikat penghantar makanan terbabit menerusi kenyataan ringkas pada Isnin menjelaskan pihaknya mengambil maklum mengenai dakwaan tersebut.
Menerusi kenyataan sama, pihaknya juga akan menghubungi pekerja terbabit untuk maklumat lanjut. -Sinar Harian