MB Perak tunjuk bakat berlakon filem

Abd Razak Mohd Ali
November 19, 2018 17:18 MYT
AHMAD FAIZAL: Saya amat meminati dunia filem dan menyokong filem Buntat kerana banyak memberi mesej dan pengajaran.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menunjukkan bakat berlakon apabila membuat penampilan istimewa dalam sebuah filem arahan pengarah popular tanah air, Sabri Yunus.
Antara barisan pelakon filem itu ialah pelakon kanak-kanak Izwan Hafiz yang memegang watak Buntat, Imuda, Khatijah Tan, Omar Abdullah, Kazar dan Sabri sendiri.
Buntat mengisahkan bagaimana seorang budak pada tahun 1968 yang lari dari kampungnya untuk mengerjakan haji dengan menaiki kapal haji.
Rentetan kejadian telah dialami budak tersebut, termauk pelbagai pengorbanan yang terpaksa dihadapinya. Semua itu mencetuskan perasaan sedih mahupun gembira.
Ahmad Faizal hanya berlakon satu babak dan penggambaran dijalankan di Taiping yang mengambil masa hanya satu jam.
Beliau memegang watak seorang 'Syeikh' penjual buku agama di Pulau Pinang yang banyak memberi nasihat kepada orang ramai yang berada di pelabuhan, terutama Buntat.
“Saya amat meminati dunia filem dan menyokong filem Buntat kerana banyak memberi mesej dan pengajaran, apatah lagi 100 peratus pengambaran filem ini dilakukan di dalam negeri Perak. Ia sedikit sebanyak membantu mempromosi negeri ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Filem Buntat dijadual untuk ditayangkan di pawagam seluruh Negara sekitar September tahun hadapan.
#Ahmad Faizal Azumu #berlakon #Buntat #filem #Perak #sabri yunus
;