MB Perak setuju undang-undang kekang hina Institusi Diraja

Abd Razak Mohd Ali
Februari 3, 2019 11:09 MYT
Ahmad Faizal berkata sudah sampai masanya cadangan itu dipertimbangkan susulan beberapa kejadian melibatkan pengguna media sosial yang memuat naik status dan komen yang menghina institusi raja-raja Melayu. - Gambar fail
Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyokong cadangan untuk menggubal undang-undang khas bagi mengekang perbuatan menghina Institusi Diraja.
Ahmad Faizal berkata sudah sampai masanya cadangan itu dipertimbangkan susulan beberapa kejadian melibatkan pengguna media sosial yang memuat naik status dan komen yang menghina institusi raja-raja Melayu.
“Ada cadangan untuk kita gubal undang-undang baru khusus untuk perkara ini dan saya bersetuju kerana perbuatan mereka jelas menghina Insitusi Diraja yang kita mesti pelihara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya fikir dah sampai tahap melampau (orang ramai yang membuat kenyataan menghina) tanpa memikirkan kesan terhadap perbuatan mereka dan saya menyokong tindakan polis menjalankan siasatan ke atas pihak berkaitan,” katanya kepada pemberita di Chemor pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan polis menahan seorang ahli perniagaan dari Kuantan kerana disyaki menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di laman sosial Facebook.
Ketua Polis Pahang Zakaria Ahmad dilaporkan berkata lelaki berusia 45 tahun itu disiasat mengikut mengikut Akta Hasutan 1948.
Portal Malaysiakini melaporkan semalam, tular di laman sosial dakwaan seorang peniaga yang menggunakan nama akaun 'Michael Cheah' memuat naik kenyataan menghina di ruangan komen Facebook ke atas gambar Al-Sultan Abdullah.
Bagaimanapun, pemilik akaun itu didapati telah memadamkan komen berkenaan.
Sebelum ini, beberapa pihak mencadangkan supaya kerajaan menimbang untuk memperkenalkan undang-undang khas untuk mengambil tindakan ke atas pihak yang menghina Yang di-Pertuan Agong dan Institusi DiRaja.
Antara cadangan yang disuarakan adalah supaya kerajaan menggubal undang-undang khas seperti di Thailand untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang membuat kenyataan yang menghina institusi raja di negara itu.
#Ahmad Faizal Azumu #Akta Hasutan 1948 #Facebook #institusi diraja #media sosial #menghina #Menteri Besar Perak #Michael Cheah #Thailand #undang-undang khas