MB Perak sangkal laporan Institut Penyelidikan Khazanah
Astro Awani
Ogos 30, 2016 16:53 MYT
Ogos 30, 2016 16:53 MYT
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyangkal laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang menyebut seolah-olah negeri Perak dikategorikan sebagai negeri miskin.
Beliau berkata, laporan yang dikeluarkan oleh KRI itu yang menunjukkan Perak tidak berada pada keadaan pendapatan yang baik dan dianggap antara negeri yang terendah selepas Kelantan sebagai tidak tepat.
"Bagi saya laporan yang dikeluarkan KRI itu memberi gambaran yang tidak baik bagi negeri Perak seolah-olah negeri Perak ini dikategorikan sebagai negeri miskin selepas Kelantan.
"Kalau itu diletakkan sebagai indikator bahawa Perak sebenarnya miskin, itu tidak betul,'' katanya.
Dr Zambry membuat penjelasan ini kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penyerahan Kunci Rumah Pangsapuri Laksamana Amanjaya, Daerah Hilir Perak di pekarangan PPR Pangsapuri Laksamana Amanjaya di Teluk Intan pada Selasa.
Beliau menjelaskan, garis pendapatan dengan garis kemiskinan adalah dua perkara yang berbeza.
"Garis kemiskinan dengan garis pendapatan adalah dua perkara berbeza. Untuk melihat sesebuah negeri miskin, ada garis pendapatan yang ditetapkan. Macam sekarang ini, diletakkan pada garis kemiskinan tegar RM580 manakala untuk miskin RM940.
"Kita bukan berada dalam negeri yang miskin. Kita berada pada kategori yang tengah-tengah pada nombor lapan iaitu berada pada kedudukan tidak miskin," ujar beliau.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim.
KRI dalam laporannya semalam menyebut Perak menjadi negeri kedua yang mempunyai isi rumah kurang di bawah RM2,000 sebulan selain 81.1 peratus isi rumahnya berpendapatan kurang RM6,000 sebulan.
Laporan itu turut menyebut Perlis dan Pahang juga antara negeri yang mempunyai peratusan isi rumah berpendapatan kurang RM6,000 yang tertinggi iaitu masing-masing pada kadar RM80.3 peratus.
Dr Zambry juga berkata, kalau itu yang diletakkan oleh KRI sebagai indikator bahawa Perak sebenarnya negeri miskin bermakna selama ini Perak bergantung kepada Kerajaan Persekutuan termasuklah meminjam untuk membayar gaji kakitangan awam.
"Kerajaan negeri Perak tidak pernah meminjam daripada Kerajaan Persekutuan untuk membayar gaji kakitangan awam,'' katanya.