MB Perak mahu jumpa pengurusan MAPS mengenai pampasan pekerja

Bernama
Februari 3, 2020 23:30 MYT
Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan mengadakan perjumpaan dengan pihak pengurusan Movie Animation Park Studios (MAPS) dalam masa terdekat. - Gambar fail/BERNAMA
Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan mengadakan perjumpaan dengan pihak pengurusan Movie Animation Park Studios (MAPS) dalam masa terdekat.
Beliau berkata perjumpaan itu antaranya bagi mengetahui tarikh bayaran pampasan ke atas 265 pekerja berstatus tetap dan kontrak yang diberhentikan serta-merta berikutan penutupan taman tema tersebut berkuat kuasa pada 28 Jan lalu.
"Perkara itu belum dimaklumkan kepada saya. Saya belum berjumpa dengan pihak pengurusan, selepas perjumpaan, saya akan maklumkan kepada anda (pemberita) atau pihak pengurusan yang akan cakap," katanya.
BACA: Taman tema MAPS akhirnya tutup
BACA: MAPS tutup: 265 pekerja akan dapat pampasan
Beliau ditemui pemberita semasa sambutan Tahun Baru Cina Dewan Undangan Negeri Chenderiang di Taman Mas di sini pada Isnin. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy.
Pada 29 Jan lalu, menerusi satu kenyataan Pengarah Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP) Zadrul Insan Mustadza dan Yang Idros Yang Razali berkata seramai 265 pekerja MAPS yang diberhentikan akan diberikan pampasan mengikut garis panduan Akta Pekerja 1955, namun tidak menyatakan jumlah pampasan.
-- BERNAMA
#Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu #Maps #Menteri Besar Perak #Movie Animation Park Studios #pampasan
;