MB Perak kecewa penerokaan tanah di Bukit Kledang
Astro Awani
Februari 8, 2019 05:30 MYT
Februari 8, 2019 05:30 MYT
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melahirkan rasa kecewa terhadap kegiatan menceroboh tanah kerajaan secara rakus untuk melakukan penerokaan secara haram di kawasan berhampiran Bukit Kledang di sini.
Katanya, apa yang dikesalkan, penceroboh semakin berani memasuki tanah-tanah kerajaan, menggunakan jentera dan mesin berat tanpa mempedulikan undang-undang.
Tambahnya, situasi itu berlaku kerana penguatkuasaan yang lemah sebelum ini dalam mengawal selia kegiatan tersebut.
"Saya berasa amat kecewa dengan keadaan tersebut dan berharap mereka yang begitu berani menceroboh tanah-tanah kerajaan ini dapat kita ambil tindakan yang tegas supaya di masa akan datang tidak lagi berani memasuki tanah-tanah kita secara sesuka hati.
"Kami sedang mencari jalan untuk membaiki kawasan tersebut. Ia kalau boleh dikatakan, sebagai satu kelegaan. Nasib baiklah ia juga bukan dalam kawasan rizab hutan," katanya.
"Saya berharap rakyat dapat membantu kerajaan dalam perkara ini dan saya berterima kasih kepada Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang telah mengutarakan perkara ini," kata Ahmad Faizal.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di sini pada Jumaat.
Aktiviti pencerobohan itu dikesan dalam tempoh 10 hari selepas Ahmad Faizal mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Penyelesaian Setinggan Dan Usaha Haram Negeri bagi mengambil tindakan ke atas aktiviti pencerobohan tanah milik kerajaan dan syarikat-syarikat berkanun negeri (GLC).
Katanya, walaupun tanah yang diceroboh di kawasan Bukit Kledang itu bukan terletak dalam kawasan rizab hutan namun ia telah diluluskan oleh kerajaan pada tahun 2015 bagi tujuan pembangunan bercampur.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu ini malah akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peneroka yang menceroboh tanah kerajaan secara haram.
Pada Khamis, Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) mengesahkan penerokaan tanah seluas 10 hektar berhampiran Bukit Kledang merupakan aktiviti haram bagi tujuan perladangan kelapa sawit.
Ia turut melibatkan sebahagian dari tanah milik MB Inc.
Susulan itu, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak telah mengarahkan semua kerja-kerja tanah di tapak itu dihentikan serta-merta dan siasatan dimulakan bagi mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab.
#Ahmad Faizal Azumu
#Bukit Kledang
#ceroboh
#haram
#kerajaan
#Menteri Besar
#penerokaan haram
#penguatkuasaan
#siasatan
#tanah
#undang-undang