MB Perak dilantik penasihat Persatuan Veteran VAT69 Komando
Bernama
Mac 12, 2018 20:29 MYT
Mac 12, 2018 20:29 MYT
Persatuan Veteran VAT69 Komando sebulat suara melantik Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai penasihat persatuan itu.
Yang Dipertua Persatuan Veteran VAT69 Komando Datuk Abd Rashid Harun berkata pelantikan itu telah dipersetujui pada Mesyuarat Agung Persatuan Veteran VAT69 yang diadakan pada Sabtu lepas.
"Pelantikan Menteri Besar Perak sebagai penasihat kerana VAT69 lahir di bumi Perak, kami berlatih di Perak dan pesara (komando VAT69) kebanyakannya di sini.
"Jadi inilah tempat kami dan kami telah sebulat suara memilih Menteri Besar Perak sebagai penasihat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Minum Lewat Petang Menteri Besar Perak bersama Persatuan Veteran VAT69 Komando di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan persatuan itu dan Jabatan Pendidikan Perak bagi mengadakan program berbentuk patriotik di sekolah.
"Pengiktirafan begini yang kami nantikan kerana kami telah melalui segala susah senang. Saya rasa perkara ini patut dikongsi bersama supaya masyarakat khususnya generasi muda mengetahui betapa susahnya untuk mengekalkan kemerdekaan," katanya.
Selain itu, Abd Rashid yang juga Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Zambry atas pemberian peruntukan berjumlah RM154,000 bagi membina pejabat serta pusat aktiviti dan penginapan persatuan itu di Tanjung Rambutan di sini.
"Beberapa tahun lepas kerajaan negeri telah menganugerahkan kami tanah lot kedai. Peruntukan yang diberi akan digunakan bagi membina bangunan tiga tingkat sebagai pejabat serta pusat aktiviti dan penginapan yang akan dibina di tanah itu," katanya.
Zambry ketika berucap berkata sumbangan itu adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan pegawai serta anggota veteran VAT69 dalam mempertahankan kedaulatan serta keamanan negara.
"Sumbangan ini juga diberikan kerajaan negeri dalam membantu merealisasikan hasrat 500 anggota persatuan untuk memiliki bangunan sendiri," katanya.
-- BERNAMA
#Abd Rashid Harun
#Jabatan Pendidikan
#kerajaan negeri
#Menteri Besar
#patriotik
#penasihat
#Perak
#sekolah
#Veteran VAT69 Komando
#Zambry Abd Kadir