MB Perak akan menghadap Sultan Nazrin bentang laporan kegiatan GISB

Bernama
September 27, 2024 16:22 MYT
Saarani (foto) bercakap pada media di Majlis Pelepasan Rimba Raid Lenggong 2024 di Kampung Beng hari ini. -fotoBERNAMA
LENGGONG: Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad akan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi membentangkan laporan penuh berhubung kegiatan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd di negeri ini dalam masa terdekat.

Ringkasan AI
  • Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, akan menghadap Sultan Perak untuk membentangkan laporan penuh mengenai kegiatan GISB di negeri Perak.
  • Kegiatan GISB sedang dalam pemantauan rapi pihak polis, dan keputusan untuk memfatwakan GISB sebagai organisasi haram hanya akan dibuat selepas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan mengeluarkan ketetapan.
  • Seramai 55 kanak-kanak telah diselamatkan dari rumah amal milik GISB di seluruh negeri Perak sejak Op Global dilaksanakan pada 21 September 2024, dan kini ditempatkan di rumah perlindungan yang dipantau penuh oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata laporan itu sedang dilengkapkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang merupakan pihak bertanggungjawab mengendalikan isu berkenaan.
"Saya telah minta JAIPk mengumpul maklumat dan data untuk buat laporan. Secara kebetulan, Sultan Nazrin juga merupakan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang mengendalikan isu ini.
"Bagi pihak saya, tidak dinafikan kegiatan kumpulan ini sememangnya wujud (di negeri ini) dan sedang dalam pantauan rapi pihak polis," katanya selepas merasmikan Majlis Pelepasan Rimba Raid Lenggong 2024 di Kampung Beng di sini hari ini.
Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran GISB mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.
Terengganu juga dalam perancangan sama, namun sedang mengumpul bukti yang mengaitkan organisasi terbabit dengan unsur bertentangan dengan ajaran Islam.
Saarani berkata keputusan untuk memfatwakan GISB sebagai organisasi haram hanya akan dibuat selepas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan mengeluarkan ketetapan berhubung organisasi berkenaan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata sebanyak 55 kanak-kanak berjaya diselamatkan dari rumah amal milik GISB di seluruh negeri Perak sejak Op Global dilaksanakan pada 21 Sept lepas.
Beliau berkata kesemua kanak-kanak berkenaan kini ditempatkan di sebuah rumah perlindungan yang dipantau penuh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
-- BERNAMA
#ajaran sesat #Global Ikhwan Services and Business #Sultan Nazrin Shah #Saarani Mohamad
;