MB Pahang Wan Rosdy kembali bertugas

Bernama
Julai 24, 2024 10:49 MYT
Wan Rosdy mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) di Wisma Sri Pahang, hari ini.
KUANTAN: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kembali memulakan tugas rasmi di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, selepas hampir sebulan setengah bercuti susulan menjalani prosedur pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).
"Setelah sekian lama bercuti selepas menjalani pembedahan di IJN pada 7 Jun lepas, Alhamdulillah hari ini saya memulakan tugas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
"Saya juga menyerahkan surat penempatan dan pertukaran Ketua Jabatan di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Pahang berkuat kuasa 1 Ogos 2024," katanya yang berkongsi perkembangan terbaru itu menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Pada 14 Jun lepas, Wan Rosdy dibenarkan pulang ke rumah dan difahamkan buat masa ini beliau hanya berada di pejabat dan menghadiri mesyuarat serta tidak terbabit dengan program luar.
-- BERNAMA
#Wan Rosdy Wan Ismail #menteri besar pahang #cuti #IJN