MB Pahang sertai Op Murni hantar bekalan makanan

Arfa Yunus
Disember 5, 2013 22:51 MYT
1,102 kilogram bekalan makanan telah dibawa helikopter pertama jenis EC725 Super Cougar bagi memenuhi keperluan seramai 4,000 mangsa banjir di sini pada Khamis.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob menyertai misi Ops Murni Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini bagi menghantar bekalan makanan kira-kira 2.083 tan kepada penduduk di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Isap Murni serta di Penjara Penor.
"Helikopter kedua jenis yang sama turut membawa bekalan makanan di Penjara Penor untuk diagihkan di pusat pemindahan di sekitarnya.
"Kita terpaksa menggunakan helikopter berikutan kawasan berkenaan terputus hubungan darat," katanya kepada pemberita di Pangkalan Udara Kuantan.
Turut hadir ialah Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddina Abdul Ghani dan Komander Pangkalan Udara Kuantan, Brigadier Jeneral Datuk Mohammad Salleh Osman.
Menurut Adnan, pihaknya dengan kerjasama TUDM akan berterusan menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir sehingga keadaan pulih sepenuhnya.
"Pada hari pertama percubaan menghantar bekalan makanan menggunakan khidmat TUDM gagal berikutan tiada kawasan sesuai untuk mendarat.
"Bagaimanapun, syukur kita berjaya menghantar bekalan makanan dan ubat-ubatan selain keperluan asas yang lain.
"Sepanjang penerbangan kira-kira 30 minit, saya mendapati keadaan banjir di seluruh Kuantan belum surut sepenuhnya kerana masih banyak rumah yang ditenggelami air," tambah Adnan.
#Adnan Yaakob #banjir #bantuan #bekalan #helikopter #makanan #super cougar